Pemilihan pemain warisan urusan FAM - Hannah

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk melibatkan kehadiran enam hingga tujuh pemain warisan baharu bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Namun menterinya, Hannah Yeoh tetap komited memberikan sokongan penuh kepada badan induk tersebut dalam usaha memajukan bola sepak negara di pentas antarabangsa.
“Setakat ini, saya belum menerima sebarang dokumen berkaitan. Namun, saya percaya apabila bersedia, mereka akan datang kepada kami.
“Kami bersedia melihat bagaimana sokongan dapat diberikan,” katanya.
Hannah menjelaskan FAM ketika ini juga giat memberi tumpuan kepada proses pemilihan kepimpinan dalaman organisasi tersebut.
“KBS sedia membuka pintu untuk perbincangan dan menyokong sebarang keperluan lain selepas FAM menyelesaikan proses pemilihan,” katanya.
FAM akan mengadakan kongres pemilihan bagi penggal 2025-2029 pada 15 Februari depan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini mengesahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Perkembangan tersebut dikongsikan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yang menjadi tulang belakang kepada penstrukturan revolusi Harimau Malaya menerusi laman Instagram miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!