Gajah mengamuk pijak lima pengunjung pesta

BANGKOK - Kira-kira lima cedera dipijak seekor gajah yang mengamuk apabila bunga api dinyalakan semasa majlis perasmian sebuah pesta di timur laut Thailand.
Portal Bangkok Post melaporkan, insiden tersebut berlaku pada Sabtu lalu sekitar jam 7.30 malam (waktu tempatan) di Nong Bua Lam Phu, wilayah Kanchanaburi.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan, gajah jantan berusia 10 tahun itu datang ke pesta bersama pengendalinya untuk menjual tebu kepada pengunjung.
Aktiviti tersebut merupakan kebiasaan di negara berkenaan dengan pengunjung boleh membeli tebu untuk diberi makan kepada haiwan itu.
"Gajah jantan itu terkejut apabila bunga api dinyalakan dan mula merempuh dan memijak orang ramai.
“Seramai lima pengunjung mengalami cedera ringan,” kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian berkenaan, pengendali dan gajah terlibat kemudiannya ditangkap pihak berkuasa selepas melarikan diri dari tapak pesta.
Pengendali gajah dilapor tidak mempunyai kebenaran untuk menyertai pesta atau memindahkan haiwan itu dari wilayah Surin ke bandar Nong Bua Lam Phu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
