Hendra-Ahsan inspirasi Fei-Din

BEREGU lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei belum mahu berasa berpuas hati dengan gelaran pertama musim ini selepas menjuarai Terbuka India di New Delhi pada Ahad.
Pasangan nombor dunia itu mahu terus melakukan penambahbaikan dalam corak permainan mereka berbanding mengejar ranking teratas dunia.
“Berasa hebat untuk menang di sini (Terbuka India) dan kami mahu mengekalkan momentum ini.
“Tumpuan kami bukan untuk menjadi nombor satu dunia, tetapi untuk meningkatkan lagi prestasi.
“Jika kami boleh bermain dengan lebih baik, segala-galanya akan berjalan lancar,” ujar Nur Izzuddin.
Mereka meraih gelaran tersebut selepas menumpaskan juara Terbuka Malaysia, Kim Wan-ho dan Seo Seung-jae 21-15, 13-21, 21-16 dalam aksi final Super 750 di New Delhi.
Dalam pada itu, Sze Fei mendedahkan bahawa mereka menjadikan legenda Indonesia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan sebagai model permainan ketika menumpaskan pasangan Korea Selatan tersebut.
“Hendra-Ahsan merupakan idola dan kami mencontohi gaya permainan mereka.
“Mereka mantap ketika membuat serangan dan pertahanan. Kami berusaha untuk terus memperbaiki diri bagi mencontohi mereka,” ujar Sze Fei.
Kemenangan itu membuktikan Sze Fei-Nur Izzuddin adalah satu-satunya pasangan dalam kelompok 10 teratas memperagakan aksi konsisten sejak Sukan Olimpik Paris.
Ia merupakan gelaran keempat daripada dalam lima kejohanan selepas mengungguli Terbuka Jepun, China dan Artik pada musim lalu.
Sementara itu, Hendra-Ahsan akan membuat penampilan pada Indonesia Masters bermula Selasa, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin tidak menyertai kejohanan berstatus Super 500 tersebut.
INFO
Senarai Kejuaraan Sze Fei-Nur Izzuddin
Terbuka India 2025 (Super 750)
Terbuka China 2024 (Super 1000)
Terbuka Jepun 2024 (Super 750)
Terbuka Artik 2024 (Super 500)
Terbuka Amerika Syarikat 2023 (Super 300)
Masters Abu Dhabi 2023 (Super 100)
Masters Kaohsiung 2023 (Super 100)
Terbuka Jerman 2022 (Super 300)
Cabaran Antarabangsa Malaysia 2017
Antarabangsa Swiss 2016 Siri Singapura 2016
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!