Tukar peranan petugas kaunter khidmat pelanggan bantu tingkat produktiviti - Ceupacs

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan pertukaran peranan petugas kaunter khidmat pelanggan sektor awam dapat memastikan tenaga kerja yang produktif, dinamik dan memenuhi keperluan rakyat dengan lebih baik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, inisiatif tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan sektor perkhidmatan awam yang lebih fleksibel dan serba boleh.

"Cuepacs menyokong penuh cadangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar petugas kaunter khidmat pelanggan sektor awam yang berkhidmat lebih lima tahun ditukarkan peranan.

"Langkah ini dilihat mampu meningkatkan motivasi pekerja, memperbaiki kualiti perkhidmatan, serta memberikan peluang kepada petugas untuk mempelajari kemahiran baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Shamsul Azri mencadangkan agar petugas kaunter perkhidmatan pelanggan dalam sektor awam yang sudah berkhidmat lebih lima tahun perlu ditukarkan peranan bagi memberi peluang perubahan dalam kerjaya.

Menurutnya, perkara itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dua ini melibatkan semua agensi perkhidmatan awam yang mempunyai kaunter perkhidmatan.

Tambah beliau, inisiatif itu tidak memerlukan satu pekeliling baharu diedarkan memandangkan ia perkara biasa dilakukan.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan, pihaknya berpandangan bahawa tempoh bertugas terlalu lama di kaunter boleh menyebabkan keletihan emosi dan kejemuan yang seterusnya menjejaskan prestasi kerja.

Ujarnya, setiap agensi kerajaan yang terlibat dalam perubahan itu perlu memastikan ia dilaksanakan secara terancang.

Artikel Berkaitan:

"Penekanan wajib diberikan kepada penyediaan latihan dan sokongan sewajarnya kepada petugas terlibat supaya proses ini dapat berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi harian.

"Cuepacs yakin, sekiranya dilaksanakan dengan betul, langkah ini akan membawa manfaat besar kepada organisasi, pekerja dan rakyat secara keseluruhan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!