Pelaburan di UK tak jejas peluang kerja anak tempatan - Adam Adli

SEREMBAN - Rancangan pelaburan sebuah syarikat Malaysia di United Kingdom (UK) yang dijangka menyediakan 30,000 peluang pekerjaan di negara itu tidak menjejaskan peluang pekerjaan anak tempatan di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana pihak kerana pelaburan berkenaan mampu memberi pulangan baik kepada ekonomi negara.
"Saya kira langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan itu sebenarnya satu langkah berkeperluan dan soal buka peluang pekerjaan di negara luar itu kerana operasinya di sana.
"Itu perkara yang tidak boleh dielakkan. Tapi yang melabur itu adalah syarikat tempatan, maka untungnya akan dipulangkan semula kepada ekonomi negara kita. Itu adalah pergerakan ekonomi dan normal sepatutnya," katanya ditemui pemberita selepas hadir pada program Khatan Perdana 2025 anjuran Pertubuhan Lima Generasi Negeri Sembilan di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan pelaburan daripada perniagaan Malaysia di UK yang memberi peluang pekerjaan di sana.
Mengulas lanjut kata Adam Adli, rakyat negara ini terutamanya belia tidak perlu risau dengan pelaburan berkenaan kerana ia juga memberi pulangan yang baik kepada negara.
Pada masa sama katanya, usaha berterusan juga dilakukan kerajaan menerusi pelbagai kementerian untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu di negara ini.
"Jadi jangan kita risau soal ruang pekerjaan di negara luar itu. Itu soal pelaburan kita sendiri di negara lain.
"Soalnya di sini, apabila kita bawa masuk pelaburan lain untuk cipta peluang pekerjaan, kita harus yakinkan peluang itu untuk graduan atau golongan belia di sini," katanya.
Tambahnya, kerajaan juga telah tubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara untuk memastikan belia dilengkapi dengan kemahiran tinggi sekali gus mampu mengisi pasaran kerja yang ada sekarang.
"Kalau kita lihat peluang pekerjaan yang dibawa atau dicipta menerusi pelaburan-pelaburan dari negara lain ke negara kita juga sangat aktif.
"Dalam erti kata lain telah wujud usaha berterusan tanpa henti oleh kerajaan menerusi pelbagai kementerian untuk kita cipta peluang pekerjaan baharu untuk anak tempatan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri UK, Keir Starmer berkata, pelaburan daripada perniagaan Malaysia dijangka mewujudkan 30,000 pekerjaan di negara itu.
Starmer yang memegang jawatan itu pada Julai tahun lalu, berkata usaha mengembangkan ekonomi negara adalah bahagian penting dalam rangka kerja Rancangan Perubahan kerajaannya.
"Hari ini, saya bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, untuk membincangkan pelaburan baharu daripada perniagaan Malaysia ke UK yang akan mewujudkan 30,000 pekerjaan dan membina rumah baharu," katanya dalam catatan ringkas di X Keir Starmer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

