KKDW dicadang jalankan penilaian pihak ketiga, tingkat keberkesanan program

GEORGE TOWN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan penilaian pihak ketiga bagi memastikan program-program yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, langkah tersebut penting untuk menilai keberkesanan pelaksanaan program secara objektif, sekali gus memastikan inisiatif yang dirancang mencapai sasaran dengan impak yang optimum.
“Kita perlu memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memenuhi keperluan rakyat dan bertepatan dengan matlamat kesejahteraan mereka.
“Penilaian pihak ketiga adalah pendekatan terbaik untuk memastikan keberkesanan setiap program dapat diukur dengan adil dan tepat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Pemukiman KKDW 2025, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menggesa KKDW untuk memperluaskan inisiatif pasca penyerahan (post-delivery service) dalam setiap program pembangunan, termasuk Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Kita tidak boleh sekadar membina rumah tanpa memastikan penerima benar-benar menikmati manfaat yang diharapkan. Tindakan susulan seperti bertemu penerima dan menilai kepuasan mereka adalah penting.
“Langkah ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan, malah dapat memastikan projek pembangunan lebih mampan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu juga perlu dilaksanakan secara sistematik dengan bantuan teknologi seperti papan pemuka digital, sistem pemetaan interaktif dan bank data untuk memantau prestasi setiap projek secara lebih efisien.
Di majlis sama, Ahmad Zahid menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Wakaf Pulau Pinang dan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVI).
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Perda, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Projek pembangunan tersebut dijalankan di atas tanah wakaf Lot 60, Mukim 11, Bayan Lepas yang diberikan oleh dermawan, Allahyarham Puteh Haji Masseh, yang diwakafkan pada 9 Oktober 1948.
Tanah tersebut telah didaftarkan kepada MAINPP pada 20 Mei 1994 dan kekal sebagai aset wakaf untuk manfaat umat Islam.
MAINPP akan melaksanakan projek pembangunan berimpak tinggi yang melibatkan pembinaan 510 unit pangsapuri dan 12 unit komersial di atas tanah seluas 1.15 hektar dengan nilai keseluruhan RM170.1 juta.
Projek itu yang dilaksanakan oleh PVI telah mendapat kelulusan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Wakaf MAINPP pada 13 Ogos 2024.
Sebagai sebahagian daripada komitmen memperkasa tanah wakaf, projek itu dijangka memberikan pulangan sebanyak RM19 juta kepada MAINPP untuk mengembangkan hartanah dan kelestarian aset wakaf.
Dalam masa sama, projek itu juga bertujuan memaksimumkan potensi tanah wakaf sebagai aset produktif yang memberikan impak positif kepada pembangunan sosioekonomi ummah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!