Ahmad Zahid mahu ejen KKDW diperkasakan

GEORGE TOWN - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Kampung Orang Asli (JPPKOA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu diperkasakan lagi pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai ejen kerajaan di peringkat akar umbi, usaha itu mesti diperkasakan dengan sumber, latihan dan peranan yang lebih strategik agar rakyat lebih cakna terhadap segala inisiatif dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan.
"Saya yakin pemukiman yang berlangsung kali ini akan melahirkan lagi idea-idea bernas untuk mentransformasi serta memperkukuh ekosistem Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Resolusi yang dirumuskan daripada sesi ini mesti disusun rapi untuk saya bawa ke Permukiman Jemaah Menteri pada 15 dan 16 Februari 2025 nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Antara Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Wakaf Pulau Pinang dan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd di Hotel Bahang Bay di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, beliau mahu kementerian memacu langkah strategik dengan mengamalkan pendekatan 'cross-functional' iaitu dengan memanfaatkan kekuatan setiap bahagian di bawah satu payung besar yang merangkumi pendidikan,ekonomi, keusahawanan dan reformasi birokrasi.
"Sudah tiba masanya untuk meningkatkan lagi keberkesanan setiap bahagian dan agensi dengan mengoptimumkan sumber dan memperkukuh perkhidmatan silang.
"Ini amat penting kerana kita mahu penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berimpak tinggi kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan beberapa sasaran utama yang diyakini dapat meningkatkan keberkesanan agenda KKDW di mata rakyat antaranya membantu usahawan desa berkembang dan melonjakkan potensi usahawan desa untuk menembusi pasaran global.
"Selain itu, tahun ini, saya mahu melihat sekurang-kurangnya 500 orang lagi berjaya ke universiti dan mengikuti program TVET@KKDW. Jika tahun lalu, seramai 446 anak Orang Asli berjaya memasuki universiti, tahun ini saya mahu jumlah itu bertambah.
"Saya juga mahu kita memperluaskan usaha dengan mewujudkan program kesinambungan Pra-Tahfiz pasca Tabika agar anak-anak ini dapat meneruskan hafazan al-Quran walaupun telah memasuki sekolah rendah," jelasnya.
Ahmad Zahid menambah, beliau juga mahu agensi seperti Felcra memperkasakan lagi usaha melibatkan kepelbagaian produk pertanian terpilih seperti cili dan sayur-sayuran strategik.
"Kita mahu sektor pertanian desa berkembang menjadi tulang belakang kepada agenda keterjaminan makanan negara. Saya juga ingin menekankan agar kita merangka satu usaha bersepadu untuk menyelaraskan kekuatan pelbagai kementerian yang berkongsi agenda membangunkan masyarakat desa.
"Dengan gabungan tenaga dan sumber, insya-ALLAH kita dapat menembusi lebih banyak kawasan, serta memberikan bantuan yang lebih menyeluruh dan berkesan kepada masyarakat desa," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!