Status kontrak kem olahraga cetus tanda tanya

KEM olahraga negara dilaporkan bagai 'anak ayam hilang ibu' apabila haluan mereka untuk berada dalam program sebagai persediaan ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini masih menjadi tanda tanya.
Situasi itu mendorong segelintir atlet balapan serta padang menjalani latihan harian tanpa kelibat jurulatih dan ada pengendali yang akan tamat kontrak akhir bulan ini.
Malah status mereka juga menjadi teka-teki berbanding atlet sukan lain yang sudah membaharui kontrak dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
Menurut sumber, susulan kekangan tersebut atlet menjalani latihan sendiri menerusi program yang sudah diatur oleh pengendali terdahulu.
Tambahnya, berkaitan kontrak mungkin ia diuruskan secara berperingkat, berbanding sukan lain yang sudah selesai, status atlet olahraga masih 'tergantung'.
“Mereka menjalani latihan seperti biasa di Bukit Jalil. Ada yang dibimbing jurulatih dan ada yang ikut program sebelum ini tanpa jurulatih. Namun nama mereka untuk menyertai program ke Sukan SEA belum dikeluarkan.
“Ia mencetuskan persoalan dalam kalangan atlet. Malah ada juga acara yang tiada jurulatih dan kontrak nak tamat tidak lama lagi.
“Ada juga atlet mengadu mereka masih belum dapat kontrak baharu berbanding sukan lain sudah dapat bulan ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Temasya terbesar Asia Tenggara itu berbaki 323 hari menuju pembukaan rasmi yang dijadual berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkla bermula 7 hingga 19 Disember depan.
Beliau menjelaskan, persediaan sepatutnya dibuat lebih awal bagi memastikan proses persiapan berjalan dengan lancar dan tersusun.
Malah beliau juga berharap jurulatih baharu dapat disediakan dalam tempoh segera bagi memastikan proses latihan tidak terjejas.
"Negara jiran seperti Thailand sudah lama buat persiapan dan mereka serius melakukan yang terbaik. Lebih-lebih lagi temasya berlangsung di laman mereka sendiri," katanya.
Justeru sumber itu berharap, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi perhatian mengenai perkara tersebut dalam usaha atlet untuk memacu nama negara di pentas antarabangsa.
“Atlet bertekad untuk memberikan yang terbaik, namun mereka juga berharap kebajikan serta proses latihan berjalan dengan sistematik,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, satu perjumpaan akan diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Isnin.
“Saya akan jumpa menteri Isnin ini. Bukan sahaja soal kontrak atlet, tetapi ia turut melibatkan kontrak jurulatih,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
