Southern Tiger tekad pertahan kejuaraan Asia WBC

PETINJU profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron bertekad mempertahankan gelaran juara Asia bagi kelas bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) pada Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025, 16 Februari ini.
Muhamad Farkhan, 36, yang diberi nama julukan The Southern Tiger berkata, beliau sudah bersedia untuk bertarung dengan Jaskaran Singh dari India demi mengekalkan rekod sempurna dengan 13 kemenangan tanpa kalah, sekali gus menutup tirai karier tinjunya selepas dua dekad membawa cabaran negara.
“Memang benar, 'api kemarahan' penting untuk mencapai kemenangan tetapi kita tidak boleh terlalu dikuasai emosi. Kita perlu keseimbangan 50-50 ketika berada dalam gelanggang.
“Jangan terlalu yakin kerana ia boleh menjadi musuh dalam selimut. Sebab itu, tiga hingga lima hari sebelum bertanding, saya tidak keluar bertemu sesiapa, termasuk keluarga untuk menjaga kestabilan emosi,” katanya kepada pemberita selepas sidang media JIBC 2025 pada Jumaat.
Muhamad Farkhan percaya meskipun Jaskaran masih muda dan memiliki kelebihan dari segi ketinggian, pengalaman dan pengorbanannya selama 24 tahun dalam sukan tinju memberikan keyakinan untuk sekali lagi melakar kejutan.
Muhamad Farkhan yang berkongsi perjalanan kariernya berkata beliau mula mencipta nama dalam arena tinju antarabangsa pada usia 16 tahun ketika membawa pulang pingat perak di New Delhi, India bermula dengan kategori lightweight sebelum beralih ke kategori heavyweight dan cruiserweight.
Beliau yang menjadikan Prince Naseem Hamed sebagai idola turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atas sokongan berterusan sepanjang bergelar atlet negara dan kini menjadi atlet profesional untuk melakar nama di persada antarabangsa.
“Bapa saya juga menjadi inspirasi terbesar saya. Ketika berusia 16 tahun, beliau meminta saya ke Indonesia bersendirian untuk menyertai kejohanan. Pengalaman itu membentuk siapa saya hari ini,” katanya.
INFO
JIBC 2025 merupakan kejohanan tinju bertaraf antarabangsa hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor, FH Promotions dan Persatuan Tinju Johor dengan Persekutuan Tinju Profesional Malaysia dan Majlis Tinju Dunia sebagai badan yang memberi kelulusan.
Sebanyak lima perlawanan berprofil tinggi akan berlangsung melibatkan penyertaan lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Syria, Singapura dan Afrika Selatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!