Najib mengaku bersemuka, tidak selesa gaya hidup mewah Jho Low

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa beliau mengetahui mengenai gaya hidup Jho Low yang bermegah-megah dan mendapat publisiti, namun tidak pernah mengesahkan dakwaan ahli perniagaan dalam buruan itu bahawa pembelian hartanah bernilai jutaan ringgit dan karya seni olehnya adalah bagi pihak Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, iaitu adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi.
Memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama dalam perbicaraannya terhadap dakwaan menyeleweng RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bekas perdana menteri tersebut mengakui menyedari reputasi Jho Low ketika itu berikutan berita mengenai perbelanjaan borosnya untuk hartanah dan lukisan tersebar.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam merujuk Najib kepada artikel terbitan sebuah portal dalam talian yang melaporkan bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho menginginkan hartanah termasuk kondominium, penthouse dan rumah agam di Amerika Syarikat, Singapura dan Perancis serta karya seni oleh Andy Warhol and Claude Monet.
Semasa pemeriksaan balas oleh Mohamad Mustaffa, Najib berkata, beliau tidak selesa dengan gaya hidup Jho Low dan bersemuka dengannya berhubung perkara itu.
"Saya bersemuka dengannya (Jho Low) mengenai hal ini dan dia berkali-kali ulang dia buat itu untuk Sheikh Mansour. Saya tidak selesa dengan gaya hidupnya yang bermegah-megah.
"Ini penjelasannya kepada saya dan dia ulang kepada saya beberapa kali bahawa pembelian itu untuk Sheikh Mansour," kata Najib.Mohamad Mustaffa mencadangkan bahawa Najib, yang ketika itu perdana menteri dan di puncak kuasa, boleh menyiasat kebenaran dakwaan Jho Low berhubung Sheikh Mansour.
Najib berkata, menyiasat dakwaan itu bermakna melibatkan kerajaan negara lain memandangkan Sheikh Mansour merupakan adik kepada Putera Mahkota Abu Dhabi ketika itu.
Mohamad Mustaffa: Anda boleh menyiasat tetapi memilih untuk tidak melakukannya. Anda menutup sebelah mata dan tidak mahu mengetahui perkara yang sudah nyata.
Najib: Saya tidak bersetuju. Saya tidak selesa dengan laporan akhbar (mengenai Jho Low) sebab itu saya bersemuka dengannya.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!