Situasi banjir di Johor semakin baik

JOHOR BAHRU - Situasi banjir di negeri ini semakin baik apabila hanya daerah Pontian merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 17 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, daerah Kluang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup pada Khamis.

"Di Pontian hanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 17 orang daripada empat keluarga.
"Sementara itu di Kluang, dua PPS di Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang ditutup pada jam 10 pagi.
"PPS berkenaan ditutup selepas banjir surut dengan seramai 213 mangsa daripada 68 keluarga dibenarkan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada Jumaat hingga Ahad ini.
Pada masa sama, tiada sungai yang dilaporkan pada paras bahaya, namun Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai pada tahap amaran dengan bacaan 14.17 meter.
Setakat jam 10 pagi tadi, hanya Segamat dan Johor Bahru dilaporkan mendung, manakala semua daerah lain dilaporkan cerah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!