PGA Sarawak tumpaskan kegiatan pembalakan haram di Julau

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menumpaskan kegiatan pembalakan haram di daerah Julau, kira-kira 390 kilometer dari sini pada Isnin dan merampas 154 batang balak serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM3 juta.
Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, dalam serbuan menerusi Op Taring Libas itu, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan lingkungan umur 34 hingga 59 tahun dan seorang lelaki Indonesia berusia 45 tahun.
"Pemeriksaan lanjut menemui 154 batang kayu balak pelbagai jenis dan saiz, dua unit gergaji rantai dan tiga buah jentolak pelbagai jenis di lokasi berkenaan.
"Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda. Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.31 juta," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Che Ghazali berkata, keenam-enam suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Cawangan Sarikei untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Jabatan Hutan Sarawak 2015. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
