Ibu, bayi 12 bulan parah dirempuh kereta

Keadaan kereta jenis BMW yang remuk selepas melanggar empat beranak di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini malam tadi. Foto: Ihsan JBPM
Keadaan kereta jenis BMW yang remuk selepas melanggar empat beranak di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini malam tadi. Foto: Ihsan JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita dan bayi perempuannya parah selepas dirempuh oleh sebuah kereta ketika berada di tepi jalan di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa Bashirah Mohd Yazid, 31, bersama anaknya, Norhidayah Ahmad Yusof, 12 bulan, parah manakala suaminya, Ahmad Yusof Che Kar, 42, dan seorang lagi anak mereka, Mohamad Taufiq Ahmad Yusof, 10, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan empat mangsa yang berada di tepi jalan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah van persiaran dipandu lelaki berusia 58 tahun dikatakan keluar dari arah simpang susur Sultan Abdul Hamid 3.

"Bagaimanapun, van jenis Toyota itu secara tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis BMW yang datang dari arah Jalan Teratai.

“Akibat perlanggaran itu, kereta BMW itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar empat mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan kereta jenis BMW yang remuk selepas melanggar empat beranak di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini malam tadi. Foto: Ihsan JBPM
Keadaan kereta jenis BMW yang remuk selepas melanggar empat beranak di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini malam tadi. Foto: Ihsan JBPM

Beliau berkata, dua beranak yang parah itu kini dirawat di zon merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

"Suami dan anak lelaki mangsa juga dirawat di hospital sama termasuk pemandu van.

"Pemandu kereta yang berusia 39 tahun pula dirawat di sebuah hospital swasta,” katanya.

Mohd Rozi berkata, hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta itu memandu di bawah pengaruh alkohol namun siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 11.34 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan BBP Alor Setar tiba di lokasi kira-kira jam 11.37 malam.

"Mangsa yang parah dihantar ke hospital dengan ambulans," katanya.