Tekun sedia 6 studio TikTok galak usahawan digitalisasi perniagaan

Ewon (belakang, tengah) bersama-sama tetamu jemputan bergambar dengan peminjam selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput di Medan Pesona di sini pada Isnin.
Ewon (belakang, tengah) bersama-sama tetamu jemputan bergambar dengan peminjam selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput di Medan Pesona di sini pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional melalui kolaborasi bersama TikTok Malaysia akan mewujudkan enam studio khas untuk menggalakkan digitalisasi perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedict berkata, inisiatif berkenaan merupakan projek perintis yang akan dimulakan pada tahun ini melibatkan empat studio di Semenanjung dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kewujudan studio TikTok itu merupakan antara sebahagian daripada usaha yang dilakukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam memastikan usahawan PMKS tidak ketinggalan.

"Di peringkat Kuskop ini sebenarnya sudah banyak usaha untuk menggalakkan usahawan-usahawan ini untuk menggunakan platform media sosial ini sebagai satu medium pemasaran mereka termasuklah juga dengan Tekun Nasional yang bekerjasama dengan TikTok Malaysia.

"Sebanyak enam pejabat Tekun yang pertama itu sedang diubah suai untuk dijadikan sebagai studio TikTok Tekun di mana usahawan-usahawan boleh datang ke studio ini bagi memasarkan perkhidmatan ataupun produk mereka," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput di Medan Pesona di sini pada Isnin.

Ewon (kanan) beramah mesra bersama penerima pinjaman Tekun Nasional selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput di Medan Pesona di sini pada Isnin.
Ewon (kanan) beramah mesra bersama penerima pinjaman Tekun Nasional selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat Tekun Nasional Cawangan Sungai Siput di Medan Pesona di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed; Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Ewon berkata, studio pertama TikTok itu dijangka akan dirasmikan pada bulan hadapan di Sabah sebelum diikuti di tempat-tempat lain bagi fasa pertama ini.

"Selepas penilaiannya nanti, mudah-mudahan lebih banyak studio dapat kita bina sekiranya itu dapat memberi manfaat yang sewajarnya kepada usahawan-usahawan di wilayah-wilayah di mana berdekatan dengan studio yang sedang di ubah suai sekarang.

"Pihak kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya sentiasa mendengar keperluan-keperluan rakyat dan mencari idea baharu yang sesuai untuk memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ewon mendedahkan kadar tunggakan bayaran balik pinjaman Tekun Nasional berjaya dikurangkan kepada satu digit iaitu sekitar sembilan peratus berbanding dua digit sebelum ini.

Menurutnya, kejayaan itu hasil komitmen warga kerja Tekun Nasional menerusi kutipan semula pinjaman berkenaan dalam memastikan peminjam membayar mengikut jadual yang dipersetujui.

Katanya, kejayaan itu juga hasil persefahaman dengan peminjam dalam kalangan usahawan-usahawan kerana bayaran balik tersebut dapat memastikan pembiayaan disalurkan kepada usahawan-usahawan baharu.

Media pada Ahad melaporkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo mendedahkan ketika ini terdapat ramai PMKS yang kurang berminat menggunakan teknologi baharu untuk memperkasakan lagi perniagaan mereka.

Justeru itu Kementerian Digital sedang mempergiatkan inisiatif menarik lebih ramai PMKS mengadaptasi penggunaan digital di dalam perniagaan mereka.

Usaha itu amat penting dalam memastikan sasaran ekonomi digital untuk menyumbang 25.5 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini dicapai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!