Anding Ayangan 4 singkap pertelagahan dua dunia

KUALA LUMPUR - Ceritera dunia purba dan realiti hasil garapan novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid tampil dalam sekuel, Anding Ayangan siri 4.
Siri terakhir novel keluaran Buku Prima itu sudah berada di pasaran sejak Disember lalu.
Ramlee ketika ditemui berharap agar peminat setia novel berkenaan berpuas hati dan mendapat jawapan keseluruhan cerita yang mula diterbitkan pada tahun 2017.
“Novel ke-4 ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan berada di luar dari konsep penceritaan sebenar.
“Peminat setia Anding Ayangan perlu mendapatkan novel ini di pasaran bagi melengkapkan keseluruhan pengisahan dan jalan ceritanya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada siri jelajah bertemu peminat dan pembaca Anding Ayangan siri 4 di MPH Book Store, Menara Tun Razak Exchange (TRX), di sini pada Ahad.
Jelas Ramlee, berbeza dengan novel thriller lain tulisannya, Anding Ayangan siri 4 bersesuaian dengan kehendak semasa dan teknologi penceritaan.

Berdasarkan rekod, Anding Ayangan siri 2 dan 3 sebelum ini sudah terjual lebih 7,000 naskhah, kali ini Andi Ayangan siri 4 dicetak sebanyak 10,000 naskhah.
Anding Ayangan mengisahkan seorang penglipur lara bernama Nyian yang mempunyai kuasa sakti telah membaca dan mengubah cerita dongeng mengenai Anding Ayangan.
Segala yang dipertuturkan benar-benar menjadi kenyataan. Kehidupan Furqan Ayyubi di dunia Anding Ayangan terhenti kerana dia telah dibawa ke dunia nyata akibat pengisahan Nyian.
Nyian dan sahabatnya Damit pula bertukar dengan Furqan Ayyubi dan telah ditelan lautan dan dibawa ke dunia Anding Ayangan.
Keseluruhannya, Anding Ayangan menampilkan dunia nyata yang mengandungi kisah perebutan kuasa politik menerusi cara moden pilihan raya dan taktik kotor manipulasi isu politik dan skandal.
Dunia dongengan pula mengandungi kisah perebutan kuasa politik melalui penaklukan wilayah, kerajaan menerusi kaedah peperangan.
Sebelum ini Ramlee turut menghasilkan dua novel bersiri thriller iaitu Tombiruo dan Laksamana Sunan yang mendapat sambutan hangat daripada peminat novel thriller tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!