Anwar mulakan lawatan kerja di empat negara

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia akan memulakan lawatan kerja di empat negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK), Belgium dan Switzerland.
Anwar berkata, pihaknya berangkat ke UAE terlebih dahulu bagi menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri merangkap pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al-Maktoum.
Menurutnya, semasa lawatan tersebut, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.
“Usai lawatan kerja di UAE, saya akan berlepas ke London, UK bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara termasuk pertemuan dengan rakan sejawat iaitu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

“Saya kemudiannya akan ke Brussels, Belgium untuk menghadiri beberapa agenda penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo selain sesi bersama Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sebaik selesai lawatan kerja di Belgium, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Tambah beliau, platform tersebut penting dalam membahaskan pelbagai isu dunia antaranya ketidaktentuan perubahan iklim, kepesatan inovasi kecerdasan buatan (AI) dan kepantasan teknologi.
“Mohon dititipkan doa agar perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudahkan selain perancangan yang diatur mendapat keberkatan lantas membawa hasil besar kepada rakyat serta negara, insya-ALLAH,” ujar Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!