Pelbagai inisiatif PBT galak masyarakat sertai program kitar semula

No Image Caption
A
A
A

PENGURUSAN sisa antara cabaran utama Selangor yang mempunyai lebih tujuh juta penduduk. Pada 2022, negeri merekodkan 7,000 tan pembuangan sampah sehari, tertinggi dalam negara.

Kerajaan negeri mewujudkan sistem pengurusan sisa bersepadu bertujuan mengurangkan sampah ke tapak pelupusan.

Dibentang pada Julai 2022, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menyasarkan 15 peratus kadar kitar semula sisa sebagai penunjuk kejayaan.

Bagi mencapai matlamat, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenal program atau kemudahan kitar semula bagi menggalakkan kadar lebih tinggi. Kurang dua tahun RS-1 diumum, Selangor mencapai kadar kitar semula sisa 8.24 peratus.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan kutipan tertinggi antara PBT. Masing-masing mengutip lebih 200,000 tan dari 2021 hingga tahun lalu.

Bagi menggalakkan penglibatan masyarakat, MBSA misalnya mengagihkan baucar RM5 Speedmart kepada penduduk menukar kertas, tin, besi, pakaian dan yang berkaitan.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang mengutip lebih 2,000 tan barangan kitar semula pada tahun lalu bekerjasama dengan peniaga restoran, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Empat rumah sampah turut dinaik taraf menjadi pusat kitar semula, termasuk di Pasar Besar Jalan Meru, Jalan Makyong 5 Bukit Raja, Taman Camelia Bandar Putera dan Taman Klang Perdana.

Artikel Berkaitan:

Ganjaran minyak masak terpakai paling mendapat sambutan penduduk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL). Mereka diberi wang tunai RM2.50 hingga RM3 bagi setiap satu kilogram.

Sejumlah 3,731.05 kilogram minyak masak terpakai dikumpul bermula Januari hingga Jun tahun lalu di Program Kitar Semula Pasar Awam Banting.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang berjaya meningkatkan kutipan barang kitar semula dari 3,000 tan kepada lebih 8,000 tan pada tahun ini menggunakan hab kitar semula sebagai tempat pengumpulan.

Terletak di Taman Tasik Chempaka, Bandar Baru Bangi, orang ramai mudah menghantar barangan tidak digunakan ke situ.

Sebanyak 4,228 tan barangan kitar semula pelbagai jenis dikutip Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tahun 2023.

Sebanyak 1,917 tan diperoleh menerusi program kutipan pintu ke pintu di 85 kawasan. Program sejak 2020 membabitkan 54,500 unit kediaman dengan purata penyertaan penduduk 60.08 peratus.

Tawar inisiatif

Tukar barang terpakai dapat keperluan dapur, itu inisiatif Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sehingga mereka mengutip 21,177.29 tan barangan bermula 2021 sehingga Mei tahun ini.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip lebih 16,000 tan (2021 hingga Jun 2024) sampah terpakai dan kumpulan pelajar sekolah menengah dan rendah antara kumpulan paling peka menyertai kempen kitar semula.

Perhubungan awam Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan media sosial seperti Facebook dan TikTok berperanan meningkatkan amalan kitar semula. Kutipan bertambah daripada 2,748.43 tan pada 2023 kepada 5,765.73 tan sehingga Jun tahun 2024.

Sejak 2021 sehingga kini, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) merekodkan 4,383 tan barangan terpakai diikuti, 2,287.3 tan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sejumlah 130.66 tan.

Pentadbiran negeri turut membina loji sisa kepada tenaga, sekali gus mengurangkan sisa ke pusat pelupusan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor menumpukan kelestarian alam sekitar di samping meningkatkan tahap kesejahteraan sosial melalui pembangunan infrastruktur hijau dan pemuliharaan sumber asli.

“Pengurusan sisa dan kitar semula merupakan tugasan yang mencabar untuk Selangor, khususnya dalam mengurangkan pembuangan sampah secara haram, meningkatkan kadar kitar semula. Namun untuk mencapai sasaran 15 peratus memerlukan usaha bersama terutama masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!