Kementerian Digital pergiat usaha tarik minat PMKS ke arah digital

[DIKEMASKINI] Kementerian Digital sedang mempergiatkan inisiatif menarik lebih ramai pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi penggunaan digital di dalam perniagaan mereka.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu amat penting dalam memastikan sasaran ekonomi digital untuk menyumbang 25.5 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini dicapai.
Jelas beliau, ketika ini terdapat ramai PMKS yang kurang berminat menggunakan teknologi baharu untuk memperkasakan lagi perniagaan mereka.
"Kalau kita lihat kepada ekonomi kita, 97 peratus daripada perniagaan disumbangkan oleh PMKS. Jadi ia merupakan sebahagian yang cukup besar yang dapat menggerakkan ekonomi digital kita.
"Jika kita nak sampai tahap 25.5 peratus GDP tahun ini, saya rasa satu daripada aspek yang kita dapat lihat bagaimana kita boleh meyakinkan PMKS ini untuk mengambil bahagian dalam industri atau perniagaan digital," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Jelajah Malaysia Digital @ Perak di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Gobind berkata, tahun ini pihaknya mula bergerak ke semua negeri untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi program-program di peringkat akar umbi bagi mengenal pasti punca PMKS kurang yakin menggunakan teknologi dalam perniagaan mereka.
Menurutnya, menerusi program-program yang diadakan, beberapa maklum balas mahu pun cadangan dikemukakan pelbagai pihak akan dibawa pulang ke kementerian untuk diteliti bagi memastikan hasrat kerajaan dapat dicapai dari sudut pendigitalan PMKS.
Ditanya sama ada isu keselamatan siber menjadi punca PMKS kurang berminat ke arah digitalisasi perniagaan, Gobind menjelaskan pihaknya mengambil kira semua aspek dalam usaha pendigitalan PMKS.
"Memang ada masalah-masalah tertentu seperti mana disebut scam dan sebagainya. Tapi kerajaan akan melihat bagaimana kita boleh wujudkan satu ekosistem di mana kita dapat memastikan bahawa masalah-masalah ini dapat kita bendung.
"Saya rasa kita juga kena lihat kepada banyak cerita-cerita kejayaan seperti mana kita lihat hari ini. Ramai yang telah pun menyatakan bahawa dengan menggunakan teknologi baru dan sebagainya, mereka dapat melihat perkembangan perniagaan mereka yang cukup besar," katanya.
Menurutnya, aspek kejayaan perniagaan apabila pendigitalan itu dilaksanakan harus diberikan tumpuan seterusnya memberi peluang kepada lebih ramai usahawan PMKS untuk memperkasa perniagaan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!