Polis tahan dua lelaki dalam Op Tapis

JASIN - Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam pengedaran dadah pelbagai jenis dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 27 tahun di tepi jalan di Jalan Bandar Jasin 3 di sini kira-kira jam 6 petang.
"Hasil pemeriksaan polis menemukan sejumlah dadah dalam kereta jenis Perodua Myvi iaitu empat paket plastik disyaki jenis syabu anggaran berat 53 gram, satu plastik mengandungi lima biji disyaki pil Yaba dan empat biji pil disyaki Erimin 5.
"Susulan tangkapan itu telah membawa kepada penahanan suspek kedua berumur 37 tahun kira-kira jam 1.30 pagi Sabtu di sebuah rumah di Tangkak, Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Rusli berkata, hasil serbuan ke atas suspek kedua itu, polis telah merampas dadah pelbagai jenis iaitu dua paket plastik mengandungi bahan disyaki jenis heroin seberat 140 gram, satu paket plastik disyaki syabu (5.40 gram) dan tujuh balutan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki ganja (420 gram).
Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan RM6,710 selain turut disita motosikal jenis Yamaha dan kereta Proton Inspira dianggarkan bernilai RM31,000.
"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek pertama didapati positif dadah methamphetamine manakala suspek kedua positif dadah jenis morphine.
"Semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
