Anwar perlu contohi Pak Lah

Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim
Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim
A
A
A

TIDAK habis dengan polemik peralihan kuasa Perdana Menteri, negara dipanaskan pula dengan pendedahan rancangan ‘pelan B’ bagi memastikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kuasa mentadbir negara dengan segera.

Pendedahan itu boleh dianggap menggemparkan lantaran Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memberi jaminan akan menunaikan janji menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Plot terbaharu polemik peralihan kuasa itu timbul apabila Ahli Parlimen Selayang yang juga bekas Bendahari PKR, William Leong membuat kenyataan terbuka pada majlis kupasan politik semasa di Damansara pada 16 Februari lalu.

Dalam majlis itu, William memberi bayangan sesuatu perlu dilakukan termasuk tekanan daripada pandangan awam sekiranya proses peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar tidak berlaku.

Meskipun William tidak mendedahkan butiran bagaimana pelan B akan dilaksanakan, namun perkembangan itu dianggap tidak baik.

Lebih-lebih lagi kedua-dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir dan Anwar mengesahkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada Jumaat ini.

Lantaran perancangan pelan B menyingkirkan Dr Mahathir dicadangkan secara terbuka oleh kem penyokong Anwar, mampukah rancangan itu direalisasikan mereka?

Tidakkah lebih baik kem penyokong Anwar atau pemimpin itu sendiri mencontohi bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sabar memastikan proses transisi peralihan kuasa berjalan lancar sebelum menggantikan Dr Mahathir?

Artikel Berkaitan:

Gerakan

Tidak dinafikan sememangnya wujud beberapa usaha menggerakkan pelan B bagi menyingkirkan kepimpinan Perdana Menteri dan ia didalangi pemimpin politik yang kebiasaannya ada atau pernah mempunyai jawatan dalam Kabinet serta kerajaan.

Menurut catatan buku Kesinambungan dan Perubahan: Malaysia di bawah Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi tulisan Datuk Dr Chamil Wariya, hal itu dibuktikan pada tahun 1987 apabila gabungan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah mencabar kepimpinan Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri keempat.

Keputusan Musa bergabung dengan Tengku Razaleigh membentuk team B dibuat setelah beliau meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 apabila tidak mendapat kepercayaan Dr Mahathir.

Gabungan itu bagaimanapun gagal dalam pertandingan pemilihan kepimpinan tertinggi UMNO dengan Dr Mahathir menerima sokongan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu. Dr Mahathir berjaya mengekalkan jawatan Presiden UMNO.

Begitu juga dengan pertembungan Anwar dengan Dr Mahathir sendiri apabila Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada kerajaan dan parti pada 2 September 1998.

Pada masa itu, Anwar dilihat ghairah untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga dikatakan sudah mengatur pelbagai gerakan bagi membolehkan proses peralihan kuasa Perdana Menteri dilakukan lebih awal.

Namun, dengan kedudukan dan kuasa sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berjaya menewaskan Anwar yang kebetulan tidak sehaluan dengannya dan dalam menangani krisis kewangan ekonomi tahun 1997.

Selain itu, umum pastinya tidak melupakan peristiwa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada Jun 2016 sewaktu era pentadbiran kerajaan BN di bawah Najib.

Tidak terburu-buru

Mengulas polemik peralihan kuasa ketika ini, seorang pemimpin politik veteran dalam PH berpendapat Anwar perlu mencontohi sifat tidak terburu-buru Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah sewaktu menjayakan transisi peralihan kuasa Perdana Menteri daripada tangan Dr Mahathir pada 31 Oktober 2003.

Menurutnya, apabila Dr Mahathir mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu langsung tidak menunjukkan keterujaan dinamakan sebagai pengganti apatah lagi merencana strategi mempercepatkan proses peralihan kuasa.

“Apabila timbul spekulasi Dr Mahathir mungkin tidak jadi meletak jawatan pada awal tahun 2003, terdapat segelintir penyokong pro Pak Lah mula bimbang dan mendesak beliau membuat persiapan awal bagi menjadi Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Pak Lah yang hanya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan takdir dan tidak berhasrat melakukan apa-apa strategi licik yang mungkin pernah dilakukan Musa dan Anwar sebelum ini,” katanya.

Pengamat politik terkemuka, Datuk Dr Chamil Wariya turut bersetuju dan menganggap langkah Anwar tidak terburu-buru menuntut janji peralihan kuasa akan meningkatkan lagi imejnya pada mata rakyat.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Anwar tidak akan mengulangi sikap yang diambil Pak Lah berhubung isu transisi peralihan kuasa Perdana Menteri.

Dr Chamil Wariya
Dr Chamil Wariya

Menurutnya, perbezaan personaliti dan sejarah perjalanan politik di antara Anwar dan Pak Lah juga menjadi faktor utama mengapa Anwar melalui kem penyokongnya akan terus memberikan tekanan kepada Dr Mahathir.

“Anwar dilihat mempunyai personaliti berbeza seperti agresif, bercita-cita tinggi dan penuh strategi dan ia dapat dilihat menerusi kemampuan Anwar mendaki jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh sangat cepat.

“Pak Lah pula dilihat lebih mengikuti arus, bersabar dan patuh kepada ketua sehinggakan beliau digelar Mr Nice Guy dalam kalangan rakan-rakan,” katanya.

Chamil berkata, polemik peralihan kuasa berterusan dibangkitkan kem Anwar mungkin disebabkan Presiden PKR itu dilihat mempunyai peluang paling baik untuk menjadi Perdana Menteri pada ketika ini susulan partinya menang paling banyak kerusi Parlimen bersama parti-parti lain dalam PH.

“Faktor kedua pula ialah Anwar bimbang sejarah lama dipecat oleh Dr Mahathir sewaktu menjadi TPM pada tahun 1997 berulang.

“Faktor ketiga membabitkan sentimen pertukaran segera Perdana Menteri dimainkan kem penyokong Anwar bagi memenuhi kepentingan peribadi masing-masing,” katanya.

Di sebalik usaha agresif kem penyokong Anwar mendesak transisi peralihan kuasa Perdana Menteri dipercepatkan, Chamil tidak bersetuju dengan cadangan mengajak orang awam turun ke jalanan sebagaimana dilakukan Presiden PKR itu pada tahun 1998.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmed Dzariean Mohd Nadzri menyifatkan pihak tertentu yang cuba mencetuskan pelan B untuk menukar segera kepimpinan negara adalah golongan tidak sabar dan terlalu terdesak mendapatkan kuasa.

Dr Achmed Dzariean
Dr Achmed Dzariean

Menurutnya, desakan sebegini sedikit sebanyak memberikan cerminan negatif kepada keperibadian Anwar sendiri yang akhirnya menjejaskan imej Ahli Parlimen Port Dickson itu pada kaca mata masyarakat.

“Desakan itu juga menunjukkan mereka sendiri sudah memberi satu tanggapan negatif bahawa proses peralihan kuasa mungkin tidak berlaku.

“Saya yakin pertemuan antara Anwar dan Dr Mahathir kerap berlaku dan sudah pasti isu peralihan kuasa dibincangkan mereka secara tertutup.

“Namun, bila ada pihak menyokong Anwar merancang pelan B menyingkirkan Dr Mahathir, senario itu bukan sahaja menunjukkan Anwar tidak positif dengan Dr Mahathir, bahkan memperlihatkan cita-cita besar beliau untuk menjadi Perdana Menteri sentiasa jadi keutamaan,” katanya.