‘Agama tidak ajar kita bermusuhan’

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada siapa pun boleh menafikan bahawa suasana aman dan tenteram amat diperlukan untuk pembangunan serta kemajuan bagi sebuah negara.

Selain itu, kehidupan dalam suasana aman juga amat dikehendaki oleh setiap individu untuk meneruskan kehidupan yang sejahtera, selesa dan bahagia.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, untuk mencapai suasana yang aman dan tenteram maka hubungan yang baik, harmoni dan saling menghormati antara komuniti merupakan prasyarat yang tidak boleh diketepikan.

Menurutnya, suasana tersebut amat diperlukan oleh negara yang mempunyai masyarakat pelbagai agama dan bangsa seperti Malaysia.

"Sebagai negara yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza keturunan, agama dan budaya, Malaysia amat memerlukan suasana aman dan harmoni. Bagaimanapun akhir-akhir ini kelihatan hubungan antara kaum di negara kita agak tegang disebabkan sentimen taksub kepada bangsa dan agama yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Ada yang menggunakan agama untuk mencapai kepentingan diri atau kumpulan mereka padahal agama tidak mengajar kebencian dan bermusuhan antara manusia walaupun wujud perbezaan tertentu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, sehubungan itu, tanggungjawab itu menjadi kewajipan kepada semua orang untuk membendung api perkauman dan taksub kepada kaum dan agama daripada terus merebak.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya menjadikan ia unik.
Malaysia mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya menjadikan ia unik.

"Sekiranya ia tidak dibendung dari sekarang, perkara itu dibimbangi akan membawa kepada perpecahan dan pergaduhan antara kaum di negara kita. Dalam isu ini, setiap orang perlu sedar bahawa kepelbagaian dan perbezaan dari sudut keturunan, agama dan budaya merupakan realiti yang perlu diterima.

"Ini adalah kehendak ALLAH SWT yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun. Malah di negara kita, kepelbagaian kaum dan agama sudah menjadi sejarah yang tidak mungkin berpatah balik. Apa yang penting ialah kita perlu berusaha memupuk sikap toleransi dan saling memahami antara satu sama lain," katanya.

Wan Salim berkata, sikap memupuk sikap tolenrasi itu boleh dilakukan melalui pelbagai aspek termasuk pendidikan, politik, media massa, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Menerusi platform-platform ini dapat dipupuk nilai-nilai inklusif, toleransi, hormat menghormati dan saling bantu membantu untuk kebaikan bersama. Untuk tujuan ini kita perlu lebih fokus terhadap elemen persamaan yang wujud antara kesemua kaum yang mana, elemen yang berbeza pula, kita perlu bertolak ansur dengan membenarkan setiap kumpulan etnik mengamalkannya tanpa dihalang atau dibantah.

"Barisan pemimpin setiap kaum perlu menerangkan kepada pengikut masing-masing tentang kepentingan memelihara hubungan yang baik dan harmoni antara warga Malaysia walaupun berbeza agama, keturunan dan budaya.

"Hubungan yang baik dengan orang lain adalah fitrah semula jadi manusia, sementara kebencian dan permusuhan adalah hasutan syaitan dan kegilaan nafsu serakah yang mahu memusnahkan kesejahteraan hidup kita semua," katanya.