Tauke lori samseng cuba halang tugas JPJ

Muhammad Kifli (tiga dari kiri) memeriksa kenderaan yang ditahan bagi menjalani timbangan muatan yang dibawa di JPJ Cawangan Taiping
Muhammad Kifli (tiga dari kiri) memeriksa kenderaan yang ditahan bagi menjalani timbangan muatan yang dibawa di JPJ Cawangan Taiping
A
A
A

TAIPING - Sengaja mematikan Sistem Pengesanan Global (GPS) dan meninggalkan kenderaan berat di tepi jalan antara taktik digunakan pengusaha lori bagi mengelak mereka dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Taktik berkenaan digunakan bagi menghalang lori itu dibawa untuk ditimbang penguat kuasa JPJ menerusi Op Khas Lebih Muatan di Lebuhraya Utara Selatan Changkat Jering-Gunung Semanggol bermula jam 5 pagi pada Jumaat.

Muhammad Kifli menunjukkan keadaan tayar lori yang dikesan telah botak dalam pemeriksaan Op Khas Lebih Muatan di JPJ Cawangan Taiping.
Muhammad Kifli menunjukkan keadaan tayar lori yang dikesan telah botak dalam pemeriksaan Op Khas Lebih Muatan di JPJ Cawangan Taiping.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pengusaha lori terlibat turut dikesan mengugut pengendali trak tunda agar tidak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

"Apabila pihak JPJ memanggil syarikat trak tunda untuk menunda lori tersebut untuk ditimbang, tauke lori telah mengugut pemandu trak ini supaya jangan bawa lori mereka ke JPJ

"Bagi saya ini sikap tauke lori yang samseng kerana selain melakukan kesalahan, mereka arahkan pemandu lori mematikan GPS, merosakkan lori dengan meninggalkan kenderaan di tepi lebuh raya," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Muhammad Kifli (dua dari kanan) menunjukkan keadaan tayar lori yang dikesan telah botak dalam pemeriksaan Op Khas Lebih Muatan di JPJ Cawangan Taiping.
Muhammad Kifli (dua dari kanan) menunjukkan keadaan tayar lori yang dikesan telah botak dalam pemeriksaan Op Khas Lebih Muatan di JPJ Cawangan Taiping.

Menurut Muhammad Kifli, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap lesen pemilik syarikat mengikut Seksyen 234(C) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Kita akan buka kertas siasatan untuk dirujuk ke timbalan pendakwa raya dan seterusnya tindakan pendakwaan dilakukan. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita mencadangkan tindakan penggantungan dan pembatalan lesen dilakukan terhadap syarikat yang enggan membawa kenderaan mereka ke JPJ," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli berkata, sebanyak sembilan lori telah disita dengan dua daripadanya dikesan membawa muatan lebih 100 peratus daripada had yang dibenarkan.

"Ini bermakna lori itu membawa muatan seperti dua lori. Kedua-dua kenderaan itu yang membawa muatan batu kerikil dan pasir itu telah diambil tindakan.

"Selain itu kita juga mengesan kesalahan lain seperti tayar botak yang bila-bila masa boleh meletup sekali gus merisikokan pengguna jalan raya lain," katanya.

Tambah beliau, penguatkuasaan terhadap kenderaan membawa lebih muatan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 57, 80 dan 82 APAD 2010 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!