Sokong inisiatif Jepun bantu pembangunan semula Palestin

SHAH ALAM - Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin menyambut baik inisiatif Jepun untuk menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai nanti.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong inisiatif berkenaan dan bersama Jepun mempengerusikan mesyuarat menteri juga amat bermakna.
Menurutnya, kerjasama sedemikian meskipun prasyaratnya ialah gencatan senjata dan penamatan perang, namun ia memberi isyarat optimistik bahawa kebijakan dan kerjasama antara negara bagi pembelaan rakyat, kebebasan, keamanan dan keadilan sejagat masih ada.
“Saya berharap ASEAN dengan Malaysia sebagai pengerusinya tahun ini, akan turut memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan penghubung antara Asia Tenggara, Asia dan Asia Barat demi keamanan, kestabilan serantau dan kebebasan ekonomi seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia juga berharap agar inisiatif lebih tangkas digerakkan untuk menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Is berikutan kekejaman genosid dan amalan aparteid ke atas rakyat Palestin, pelanggaran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan resolusi PBB, serangan ke atas kakitangan PBB dan pengharaman aktiviti Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
“Kekebalan negara pengganas Israel wajib ditembusi kerana hingga waktu ini, pembunuhan dan serangan ke atas Gaza, Lubnan dan Yemen masih berlaku setiap hari,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


