Idris nasihat Ketua Menteri Melaka pecat Exco tidak berfungsi

 Idris Haron
Idris Haron
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Pembangkang Melaka, Datuk Seri Idris Haron menasihatkan Ketua Menteri, Adly Zahari supaya bertindak tegas termasuk memecat mana-mana penjawat awam serta Exco yang tidak berfungsi untuk digantikan dengan individu lebih cekap dan berwibawa.

Idris berkata, beliau tidak menafikan terdapat Exco dilihat sibuk 'jual diri' untuk menggantikan Adly sebagai Ketua Menteri sehingga portfolio yang ditadbir lemah dan didakwa gagal.

Menurutnya, kepentingan rakyat juga dilihat terjejas berikutan kerajaan negeri disifatkan tidak mampu mengendalikan isu politik sebaiknya.

"Keadaan tidak akan pulih, namun akan menjadi lebih buruk jika politik dalaman PH (Pakatan Harapan) tidak terurai.

"Mereka dalam PH seharusnya sedar diri bahawa mereka sudah diberi peluang untuk mentadbir tetapi mereka seolah-olah melepaskannya begitu saja," katanya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan Melaka memiliki majoriti tipis dengan hanya 15 kerusi daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menyaksikan parti lawan dengan kedudukan sebanyak 13 kerusi.

Kedudukan parti kerajaan dilihat boleh tergugat bila-bila masa sahaja apabila pembangkang hanya memerlukan satu kerusi tambahan dari PH untuk menggantung DUN.

Sementara itu, Idris yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dan juga bekas Ketua Menteri memberitahu beliau lebih selesa mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu perubahan pucuk pimpinan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Berkaitan dengan perubahan pucuk pimpinan negeri serta kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak, saya lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah menegaskan pendirian dan sikap parti terhadap kerajaan 'pintu belakang' dan sudah pasti ia perlu disokong," katanya.