Mahu muzik gamelan terus diminati

JOHOR BAHRU - "Besar harapan saya agar muzik gamelan ini terus diminati dan tidak hilang ditelan zaman."
Itu kata-kata daripada Mohd Husin Idris, 52, seorang ahli kumpulan gamelan dari Pusat Kraf Johor ketika ditanya mengenai perkembangan muzik tradisonal berkenaan.
Mohd Husin berkata, pelbagai usaha perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan muzik gamelan sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Saya melihat muzik gamelan ini perlu dipertahankan untuk dinikmati dan dikongsi dengan generasi masa hadapan.
“Lagi pun, ketika ini muzik ini masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sebagai contoh ia masih tetap berkumandang sama ada secara ‘live’ atau rakaman pada majlis atau istiadat konvokesyen.
“Malah, pada majlis-majlis keraian tertentu, muzik gamelan ini masih lagi diterima dan mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Husin berkata demikian ketika ditemui dalam satu majlis keraian di Iskandar Puteri yang turut menjemput kumpulan gamelan memeriahkan lagi suasana majlis.
Tambah Mohd Husin, beliau boleh bermain hampir kesemua alat muzik seperti angklung, gamelan, gong dan juga kompang.
Malah beliau turut bertanggungjawab menghasilkan atau membuat alat-alat muzik tradisional di kompleks berkenaan.

“Tanggungjawab saya di sini (Kompleks Kraf Johor), adalah menghasilkan atau membuat alat-alat muzik tradisonal seperti kompang dan lain-lain.
“Alhamdulillah, setakat ini kesemua alat muzik yang dihasilkan berjaya disiapkan dan dijual kepada orang ramai khususnya peminat-peminat muzik tradisional itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Husin berkata, dalam usaha memastikan muzik gamelan ini terus 'hidup', minat perlu dipupuk dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi.
“Bagi saya minat perlu dipupuk sejak dari sekolah di mana dah ada kelas-kelas yang mengajar ke arah aspek muzik, walapun ia merupakan muzik tradisional mahu pun muzik moden.
"Dalam majlis-majlis keraian yang disertai, saya kerap juga memainkan lagu-lagu daripada artis masa kini dan ternyata ia berjaya menarik minat orang ramai khususnya generasi muda.
“Oleh itu, saya yakin muzik gamelan atau muzik tradisional ini akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

