Pernah disuruh bawa haluan sendiri, wanita tetap mahu nikahi lelaki kurang upaya

Tangkap layar hantaran dimuat naik @mirasarinazari dan @eija_94 di TikTok baru-baru ini.
Tangkap layar hantaran dimuat naik @mirasarinazari dan @eija_94 di TikTok baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tular di media sosial memaparkan seorang wanita yang nekad mendirikan rumah tangga bersama lelaki dikenalinya sejak 2010 meskipun lelaki itu kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

Hantaran itu dimuat naik pengguna TikTok Mirasarinazari memperlihatkan pasangan mempelai sedang menyarungkan cincin ke jari manis masing-masing.

Pengantin perempuan yang mesra dipanggil Eija berkata, walaupun suami, Muhammad Zainizam sudah lima tahun terlantar dan tidak boleh berjalan akibat kecederaan saraf tunjang, ia bukan halangan buatnya dalam membina kehidupan bersama.

“Dia (mesra dipanggil Mat Jenii) jatuh motosikal pada 2010, terlantar selama setahun kemudian boleh berjalan seperti biasa cuma tak boleh buat kerja berat.

“Pada 2019, dia jatuh bilik air. Itu yang menyebabkan dia terlantar sehingga sekarang. Perlu jalani fisioterapi atau pembedahan, tetapi kes ini berisiko tinggi kerana (perlu bedah) pada saraf tunjang dekat dengan otak.

“Kalau nak makan, dia akan makan sendiri cuma nak ke bilik air orang kena bawakan, dia boleh mandi sendiri,” katanya.

Hantaran tersebut turut mengundang sebak warga maya apabila tontonan mencecah 2.3 juta, lebih 132,000 tanda suka dan 7,100 perkongsian.

Majoriti warga maya memuji kesungguhan dan ketulusan hati wanita terbabit yang sanggup menerima segala kekurangan suami.

Ditanya mengenai keputusan menikah dengan pilihan hati yang sudah dikenali selama 14 tahun, Eija mengakui tidak mampu hidup sekiranya suami tiada di sisi.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak tahu nak cakap macam mana sebab memang tak boleh hidup kalau dia tiada.

“Semasa sakit, dia pernah suruh saya tinggalkan dia dan mulakan hidup baharu, katanya tak mahu orang anggap dia terlalu pentingkan diri sendiri.

“Tetapi, saya memang tak boleh, saya tetap teruskan hubungan ini,” ujarnya yang sudah sah bergelar isteri pada 25 Disember lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!