Kelindan maut, dua rakan cedera lori langgar papan tanda

GURUN - Seorang kelindan maut selepas lori dinaikinya terbabas dan melanggar tiang papan tanda di tepi lebuhraya PLUS menghala ke selatan, di sini pada petang Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Razali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pemandu lori dan seorang lagi kelindan mengalami cedera ringan.
Menurutnya, pusat gerakan operasi (PGO) telah menerima pangilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 5.49 petang.
"Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori jenis Isuzu yang telah terbabas dan melanggar tiang papan tanda di tepi lebuh raya.
"Terdapat tiga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Dua mangsa berusia 33 tahun dan 24 tahun berjaya keluar dari lori dengan bantuan orang ramai dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans," katanya pada Sabtu.

Jelas Mohd Fauzi, seorang mangsa lagi berusia 20 tahun masih tersepit di bahagian tempat duduk penumpang sebelah kiri semasa pasukan bomba tiba.
Menurutnya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan penyelamat.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Tambahnya, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

