X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin calon sesuai Timbalan Perdana Menteri

Dr Azizah, Anwar dan Muhyiddin
A
A

SHAH ALAM - Proses peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memasuki fasa baharu apabila ia dijangka berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 berakhir.

Umum mengetahui Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan siapa Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet seperti kebiasaan kerajaan sebelum ini, namun bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ia sedikit berbeza kerana sebarang keputusan besar bakal ditentukan menerusi konsesus parti dalam pakatan berkenaan.

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, individu yang bakal dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri perlu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Presiden PH.

"Kalau kita lihat Timbalan Perdana Menteri sekarang ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau ialah isteri kepada Anwar, juga Ahli Parlimen daripada PKR.

"Saya jangkakan lantikan Timbalan Perdana Menteri berlangsung serentak sekiranya Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Sebab itu, saya kata perkara tersebut penting untuk dibincangkan dan ditentukan sekarang," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berpendapat, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berdasarkan jumlah kerusi dan kedudukan dalam parti.

"Mengapa saya tidak kata pemimpin daripada DAP walaupun mereka ada lebih kerusi berbanding Bersatu, kerana ia bagi mengelakkan polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terutama orang Melayu.

"PH dan Anwar akan cuba mengelakkan isu-isu seperti ini kerana ia hanya memberi kesan kepada sokongan rakyat lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pastinya tidak akan berlaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada sebuah parti yang sama dalam PH kerana amalan mereka tidak begitu," katanya.

Menurutnya, cadangan Anwar terlibat secara langsung dalam pentadbiran bermula sekarang supaya proses peralihan kuasa berjalan lancar adalah cadangan yang baik, namun keberadaan Wan Azizah dalam Kabinet tidak membenarkan perkara tersebut berlaku.

Sementara itu penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berpendapat, PH bakal mengalami dilema berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri kerana mungkin berdepan kesukaran bagi mencari individu yang benar-benar layak.

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib

"Ramai yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ialah individu yang layak diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi disebabkan konsep konsesus yang dipraktikkan, tidak mungkin dua individu dalam satu parti menjawat dua jawatan tinggi dalam pentadbiran.

"Jika Muhyiddin Yassin dilantik bagi jawatan itu, saya melihat pengalaman beliau dalam Kabinet lebih luas berbanding Anwar dan jika mahu melantik pemimpin daripada DAP, saya jangka penolakan rakyat terutama orang Melayu sangat tinggi.

"Jika mahu lantik Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon lebih muda, pastinya dilihat janggal kerana melangkaui Presidennya sendiri. Namun, jika Muhyiddin bersetuju saya fikir ia tidak menjadi masalah tetapi sedikit pelik," katanya.