JIPS siasat 12 anggota kunjungi pusat hiburan - Bukit Aman

Azri
Azri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan berhubung 12 anggota polis yang ditahan kerana berkunjung ke pusat hiburan di ibu negara, baru-baru ini.

Operasi pada 12 Disember lepas itu dijalankan Cawangan Risikan Operasi JIPS Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, seramai 198 orang telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Katanya, semakan mendapati 12 daripada mereka merupakan anggota polis, lapan penjawat awam dan selebihnya orang awam.

"Ujian air kencing yang dilakukan mendapati 12 anggota polis ini negatif dadah.

"Selain itu, empat orang awam didapati positif dadah serta seorang berstatus dikehendaki bersabit kes penipuan iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tegasnya, siasatan di peringkat jabatan masih dijalankan terhadap 12 anggota terbabit.

"Kes masih dalam siasatan dan akan mengambil tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah. Siasatan juga dilakukan bagi mengesan kesalahan-kesalahan," ujarnya.

Pada Julai lalu, media melaporkan seramai 1,671 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan hukuman buang kerja atas pelbagai kesalahan sejak 2014 hingga Jun.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh itu juga, 15,546 pegawai dan anggota dikenakan pelbagai hukuman tatatertib, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuka serta melaksanakan siasatan yang membabitkan 40,436 kertas siasatan tatatertib (KST) dan kertas enkuiri tatatertib (KET).

Dalam kes lain yang dilaporkan pada 5 Disember lalu, Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung tiga anggota polis yang disyaki mengunjungi sebuah pusat hiburan di Golok, Thailand serta terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis akan melakukan siasatan berhubung kedua-dua kes itu, melibatkan pelbagai aspek siasatan serta secara telus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!