MH370: Kerajaan setuju terima tawaran Ocean Infinity teruskan pencarian

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) untuk meneruskan pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 di lokasi baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pencarian dasar laut itu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip 'no find, no fee'.
"Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui," menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini pada Jumaat.
Ujar beliau, lokasi yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berdasarkan maklumat dan analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar serta penyelidik.
"Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370," jelasnya.
Anthony berkata, MOT sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat berkenaan yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun 2025.
"Keputusan prinsip ini adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370," katanya.
MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang tanpa jejak lebih 10 tahun lalu.
Kapal terbang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi 8 Mac 2014 sepatutnya tiba di Beijing, China jam 6.30 pagi waktu tempatan namun hilang tanpa dapat dijejaki sehingga kini.
Ocean Infinity memulakan pencarian rasmi di dasar Lautan Hindi yang dipercayai menjadi lokasi pesawat pada 22 Januari 2018 dan menamatkan pencarian pada 29 Mei tahun sama.
Walaupun usaha itu melibatkan kawasan carian yang lebih luas dan teknologi terkini, ia tetap tidak menemukan bangkai pesawat.
Baru-baru ini, penyelidik Britain dilapor mengesan isyarat yang mungkin membawa kepada penemuan pesawat MH370.
Isyarat itu dikesan di Cape Leeuwin di Australia Barat, satu daripada dua stesen hidrofon yang berada dalam puluhan minit bagi tempoh penerimaan isyarat masa perjalanan dari hubungan terakhir dengan radar pesawat.
Sementara itu, Anthony menjelaskan kerja-kerja pencarian dijangka dimulakan sejurus kontrak dimuktamadkan.
"Mereka memaklumkan bahawa tempoh pencarian yang sesuai adalah antara Januari hingga April," katanya.
Menyentuh mengenai kos, ia ditetapkan pada kadar AS$70 juta sekiranya bangkai pesawat berkenaan ditemui.
"Beberapa terma dan syarat tambahan berkaitan perincian pencarian juga akan dimuktamadkan, termasuk tempoh pencarian ditetapkan selama 18 bulan.
"Semua terma dan syarat lain sedang dikaji oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum kontrak dimuktamadkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!