Kereta terbabas, seorang lelaki rentung

Anggota JBPM berusaha memadamkan kebakaran itu.
Anggota JBPM berusaha memadamkan kebakaran itu.
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMASKINI] Seorang penuntut Akademi Laut Malaysia (ALAM) rentung selepas terlibat dalam satu kejadian kemalangan jalan raya di Kilometer 19.5 Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE) - Cyberjaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, mangsa bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan dari Laman Sukan USJ 1 menghala ke Melaka.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu melanggar sebatang pokok.

"Akibat perlanggaran itu kereta berkenaan terbakar dan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tiga rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa di bawa ke Bahagian Forensik Hospital Banting untuk bedah siasat.

Katanya, polis sedang giat mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berhubung kes ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.19 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa manakala seorang lagi maut akibat rentung.

Artikel Berkaitan: