Makan Malam TMESA: Kehadiran pengunjung luar jangkaan
![Kehadiran pengunjung yang ramai sempena majlis makan malam amal TMESA, Night of Love And Compassion membuktikan masyarakat di negara ini masih sedia membantu golongan memerlukan. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR (Gambar kecil: Wan Ahmad Najmuddin Mohd)](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/15/2928513.jpg)
KUALA LUMPUR - Kehadiran pengunjung yang ramai sempena majlis makan malam amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love And Compassion membuktikan masyarakat di negara ini masih sedia membantu golongan memerlukan.
Pengerusi jawatankuasanya, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, sambutan penganjuran program itu juga disifatkan sebagai luar jangkaan dengan kehadiran penderma dari pelbagai latar belakang.
"Kalau kita lihat, pelbagai bangsa yang hadir termasuk Cina, India dan Melayu. Semua itu adalah penderma yang sanggup bantu mengumpul dana untuk menjayakan majlis ini.
![Sambutan penganjuran program itu juga disifatkan sebagai luar jangkaan dengan kehadiran penderma dari pelbagai latar belakang. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/15/2928511.jpg)
"Ada juga rakan saya dari Besut tetapi menetap di Manchester, United Kingdom (UK) sanggup balik ke Malaysia untuk menyokong majlis ini," katanya kepada Sinar Harian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Ujar Wan Ahmad Najmuddin, penganjuran majlis yang menampilkan persembahan daripada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan itu mempunyai cabaran tersendiri dalam meraih sokongan dan sumbangan daripada penderma.
![Majlis Makan Malam Amal, Night of Love And Compassion menampilkan persembahan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah (kanan) dan Datuk Hattan (kiri) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/12/15/2928512.jpg)
Menurutnya, bukan mudah untuk pihaknya menjayakan program tersebut meskipun telah menganjurkan majlis sama untuk kali kedua.
"Hendak mencari penderma untuk dana bukan mudah. Kali pertama pada 2005, kami ada buat program seperti ini.
"Ini pun Alhamdulillah kita masih boleh guna dana yang ada untuk bayar keperluan lain dan masih mempunyai baki untuk membantu pelajar sekolah di Besut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!