Jenazah bayi beku: Peguam minta netizen tarik balik tuduhan atau berdepan saman
SHAH ALAM - Tindakan saman bakal dikenakan terhadap netizen yang memfitnah keluarga jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Selangor, pada Selasa lalu.
Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy, 22, berkata, mereka sebelum itu diberi masa sehingga 12 tengah malam Khamis supaya menarik balik kenyataan yang dibuat melalui media sosial.
Menurut beliau, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
“Kita telah buat semakan status sijil perkahwinan anak guam saya dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) dan mendapati sijil itu sah.
"Kami beri masa tiga jam (sehingga 12 tengah malam Khamis) untuk padamkan hantaran atau komen (fitnah).
"Jangan buat andaian jumud. Kami sudah kenal pasti mereka, sama ada yang buat siaran langsung melalui TikTok dan sebagainya," katanya menerusi siaran langsung TikTok di sini, pada malam Khamis.
Selain itu, Ahmad Zaharil menjelaskan, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum tindakan undang-undang diambil ke atas hospital berkenaan berhubung kenyataan yang dikeluarkan.
Jelasnya, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.
“Kita akan tunggu dan dapatkan dulu dapatan daripada siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Safwan mengakui sedih dan kecewa apabila ada pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada mereka, termasuk tidak berkahwin selain mencaci dan mengutuknya.
Tambah Safwan, dia dan isteri mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dan menyerahkan urusan berkaitan kepada peguamnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!