KPDN bongkar aktiviti seludup diesel subsidi bernilai RM1 juta di jeti

Azman (kiri) menunjukkan saluran penyambungan haram yang dibuat dari tangki kapal tunda untuk proses pemindahan diesel ke tangki minyak di perkampungan air Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, Selangor.
Azman (kiri) menunjukkan saluran penyambungan haram yang dibuat dari tangki kapal tunda untuk proses pemindahan diesel ke tangki minyak di perkampungan air Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, Selangor.
A
A
A

KLANG - Helah menyeludup minyak diesel bersubsidi bernilai hampir RM1 juta dari kapal tunda ke tangki minyak di sebuah perkampungan air, di sini terbongkar apabila diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, taktik penyeludupan tersebut berjaya dikesan apabila satu serbuan dilakukan di Jeti Bagan Hailam pada Khamis.

Beliau berkata, serbuan kira-kira jam 3 pagi itu dibuat berdasarkan hasil risikan selama dua bulan oleh pihak KPDN.

Kata beliau, dalam serbuan tersebut pihaknya menemukan saluran penyambungan diesel dibuat sepanjang lebih 200 meter melalui bawah jeti berkenaan.

Azman Adam
Azman Adam

"Kejayaan ini hasil kerjasama erat unit risikan pihak KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Hasil siasatan dijalankan mendapati jeti berkenaan juga digunakan bagi kapal-kapal tunda berlabuh.

"Operasi pemindahan secara haram ini dilakukan khususnya pada waktu malam kerana kawasan ini dipenuhi kapal dan bot, seterusnya boleh mengaburi aktiviti mensabotaj bahan bersubsidi kerajaan ini daripada pihak berkuasa," katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah kapal tunda sedang berlabuh di jeti terbabit dan dipercayai sedang mengepam diesel bersubsidi keluar ke tangki simpanan.

Sehubungan itu katanya, pasukan serbuan telah menahan lima lelaki dengan empat daripadanya merupakan warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun yang berada dalam bot tunda itu.

Menurutnya, kuantiti diesel yang dirampas di dalam tangki bot dan tangki simpanan melebihi 50,000 liter dan dianggarkan bernilai RM900,000.

Tambahnya lagi, pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kapal tunda berkenaan.

Jelasnya, penahanan individu tersebut bertujuan bagi mendapatkan butiran lanjut dan melengkapkan siasatan pihak serbuan.

"Siasatan kita akan memfokuskan dari mana sumber itu diperoleh, sama ada dari pembekal sah atau sebaliknya.

"Kita percaya aktiviti ini telah lama berlaku namun ia tidak berlaku setiap hari dan menunggu waktu sesuai terutama ketika air pasang surut, selain faktor permintaan serta sumber bekalan," ujarnya.

Sebuah kapal tunda berlabuh di jeti perkampungan air Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, Selangor yang dipercayai sedang mengepam diesel bersubsidi keluar ke tangki simpanan.
Sebuah kapal tunda berlabuh di jeti perkampungan air Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, Selangor yang dipercayai sedang mengepam diesel bersubsidi keluar ke tangki simpanan.

Azman turut menegaskan siasatan juga dilakukan untuk mengenal pasti sama ada wujud komplot dalam kalangan penduduk tempatan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan bermula 1 Januari hingga 10 Disember lalu di seluruh negara.

"Sebanyak 732 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM73.11 juta.

"Bagi kes di Semenanjung, petrol adalah paling banyak diseludup, manakala Sabah dan Sarawak melibatkan diesel," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!