X

Kindly register in order to view this article
!

Di mana ibu lapan kanak-kanak ini?

Gambar atas dari kiri: Mohammad Amin, Nor Aina Farhana, Rina Sri, Bayi kepada Andi Pipiyanti, Nur Nilam Sari, Najmi Ramadan, Kogila, Muhammad Rizwan Farish.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta ibu kandung atau waris kepada lapan kanak-kanak tampil bagi urusan dokumen dan penempatan kesemua mereka kelak.

JKM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mencari ibu kandung kepada Nur Nilam Sari Abdullah, 6; Najmi Ramadan Suhaimi, 8; Kogila, 15; Rina Sri, 9; Mohammad Amin Abdullah, 7 dan bayi kepada seorang wanita warga Indonesia berusia tiga bulan.

Menurut kenyataan itu, Nur Nilam yang dilahirkan pada 29 April dirujuk pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada JKM pada tahun 2013 disebabkan ibu kandung bernama Aisha Mohd tidak mampu menjaga kanak-kanak itu.

“Kes Najmi pula dirujuk kepada JKM oleh pegawai polis selepas menemui kanak-kanak itu merayau di Taman Seri Sentosa pada 29 Julai 2016. Kanak-kanak ini memaklumkan ibunya bernama Efah manakala bapa bernama Suhaimi.

“Remaja bernama Kogila yang dilahirkan pada 24 April 2004 diserahkan ibu kandungnya bernama Rina kepada seorang wanita, S Gauradi di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur ketika berusia 4 tahun. Ibu kandung tinggalkan kanak-kanak tanpa apa-apa dokumen pengenalan diri dan surat beranak.

“Bayi lelaki yang dilahirkan pada 30 Oktober di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur tahun lalu ditinggalkan ibu kandungnya seorang wanita bernama Andi Pipiyanti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Rina Sri dilahirkan pada 1 Oktober pula ditinggalkan ibu kandung kepada seorang pengasuh sejak berusia empat bulan. Pengasuh memberitahu tidak mempunyai maklumat pengenalan diri mengenai ibu kandung kanak-kanak.

“Kanak-kanak bernama Mohammad Amin pula diserahkan bapa kandungnya kepada seorang pengasuh pada 25 Jun 2012 sementara ibu kandungnya pula telah menghilangkan diri,” katanya

Sehubungan itu, ibu kandung atau waris kesemua kanak-kanak diminta menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM Kuala Lumpur di talian 0326124000.

Dalam pada itu JKM Klang sedang mengenal pasti ibu kandung atau waris kepada dua beradik Nor Aina Farhana Abdullah,5 dan Muhammad Rizwan Farish berusia tiga tahun.

Menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian, JKM Klang memaklumkan adik-beradik itu dirujuk oleh orang awam setelah mendapati kedua-duanya dan ibu kandung hidup seperti gelandangan di lorong belakang kedai di sekitar Pelabuhan Klang.

Kenyataan itu memaklumkan, selepas menerima aduan, JKM menyelamatkan kanak-kanak tersebut dan menghantar kedua-duanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi pemeriksaan lanjut.

"Ibu kandung pula dirujuk ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi pemeriksaan, namun dibebaskan setelah ujian urin dijalankan didapati negatif.

“Sehingga kini, ibu kandung kanak-kanak bernama Maizatulakmam Bustamam, 42, yang beralamat terakhir di JKR 896 Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang tidak menghubungi JKM bagi menuntut anaknya.

“Sehubungan itu, pihak kami meminta ibu kandung atau waris menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang, Zaidi Zakaria di talian 033341 3913 bagi membolehkan tindakan lanjut dilaksanakan,” katanya.