Dua ditahan kes penipuan pelaburan Forex libat kerugian RM11.9 juta
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima 51 laporan polis membabitkan kerugian RM11,990,768 berkaitan sindiket penipuan pelaburan mata wang Forex rentas sempadan sejak awal tahun.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim itu didalangi beberapa individu warga tempatan dan Indonesia.
"Sindiket berkenaan menggunakan satu syarikat beralamat di Indonesia sebagai broker yang menguruskan transaksi kewangan.
"Dua syarikat lain turut dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur," katanya.
Ramli berkata, sehingga kini, dua individu iaitu seorang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dengan skim itu telah ditahan secara berasingan pada 9 September dan 25 Oktober lalu.
"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang diteruskan," ujarnya.
Beliau berkata, individu yang telah menjadi mangsa sindiket itu dinasihatkan untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.
"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule CCIS, Alert List Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!