3,064 aduan ketirisan barang subsidi diterima KPDN sehingga November

Armizan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Armizan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,064 aduan ketirisan barang bersubsidi diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, minyak masak merupakan antara barang kawalan yang menerima aduan tertinggi iaitu 1,862 aduan.

"Ini diikuti oleh gula (282 aduan), diesel (246 aduan), gas memasak LPG (173 aduan) dan aduan-aduan lain berkaitan barang kawalan seperti petrol, telur ayam, tepung gandum dan lain-lain," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit yang ingin tahu mengenai jumlah aduan terhadap penyelewengan barang bersubsidi dan jumlah tangkapan yang dibuat di Sarawak.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, dalam tempoh 11 bulan itu juga, sebanyak 127 kes telah dikesan oleh KPDN Sarawak dengan 16 tangkapan keseluruhan membabitkan 10 tangkapan di Kuching, manakala enam lagi di Miri.

Beliau berkata, dalam usaha kerajaan untuk mempertingkatkan dan memperkasakan penguatkuasaan di Sabah, Sarawak, dan Labuan, satu mesyuarat penyelarasan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pada 14 Disember ini.

"Ini termasuklah berkaitan program pengedaran barang perlu, supaya kita dapat memastikan aspek ketirisan melibatkan penyelewengan dan penyeludupan itu dapat ditangani di kawasan-kawasan terbabit," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!