RUU SKMM ditangguh, rujuk semula JKPK Parlimen

Fahmi ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi Multimedia SKMM (pindaan) 2024 pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Fahmi ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi Multimedia SKMM (pindaan) 2024 pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memohon bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, ditangguhkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan mengemukakan permohonan tersebut menerusi Peraturan 62 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang bertujuan mendapatkan pandangan serta cadangan lanjut.

Beliau berkata, RUU berkenaan juga akan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi bagi tujuan sama.

"Saya dapati ada isu dibangkitkan dalam sesi terbabit yang tertumpu kepada pindaan Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) dan pihak berkenaan tidak menyentuh perkara dibangkitkan ahli Yang Berhormat (YB) semasa membahaskan Akta 589 (Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998).

"Perkara dibangkitkan ini saya lihat wajar diberi lebih banyak ruang untuk diteliti dan perhalusi memandangkan Seksyen 588 akan dipandu SKMM.

"Sebaik mana Akta 588 itu, jika kita perlu perkukuhkan lagi dari segi tatakelola suruhanjaya ini, maka ia perlu berikan pertimbangan lebih wajar," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu beliau turut berharap kedua-dua JKPK tersebut akan mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) sebelum undang-undang baharu digubal kelak.

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, ia bagi mengelak wujud persepsi bahawa akta berkenaan hanya untuk memuaskan nafsu politik dan menyebelahi satu pihak sahaja.

"Semua YB menghadapi masalah, sama ada dengan (syarikat) telekomunikasi dan SKMM. Saya harap lebih ramai akan dapat memberi pandangan melalui jawatankuasa ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya tiada halangan (jika) jawatankuasa (mahu) memanggil pihak lain," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!