Khaled tiba di Australia, lawatan kerja kukuhkan kerjasama pertahanan
Mohamed Khaled berkata, semasa lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles, dan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4.
“Mesyuarat HLC MAJDP melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian pertahanan dan angkatan tentera kedua-dua negara.
"Antara lain ia membincangkan langkah-langkah untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia, baik dari segi bilateral mahupun multilateral, termasuk dalam soal kesedaran domain maritim, perkongsian maklumat dan bidang kerjasama masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu ketibaan Mohamed Khaled di Lapangan Terbang Antarabangsa Tullamarine, Melbourne hari ini (10.50 pagi waktu tempatan) disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud dan Penasihat Pertahanan Malaysia di Canberra Kol Mahamad Fazli Mat Idris. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!