Chelsea belum sedia cabar kejuaraan EPL - Maresca
ENZO Maresca menafikan Chelsea bersedia untuk berada dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun berjaya mengurangkan jurang kepada empat mata dengan pasukan teratas, Liverpool.
Chelsea bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata berharga menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 di laman lawan pada awal pagi Isnin untuk memungut 31 mata sekali gus mengekori Liverpool yang mengumpul 35 mata namun kekurangan satu perlawanan.
Menurut Maresca, dia hanya mahu para pemainnya fokus kepada perlawanan dan tidak terlalu memikirkan mengenai perebutan kejuaraan.
"Selepas perlawanan, mesej saya kepada pemain adalah untuk fokus setiap hari dalam perlawanan seterusnya pada Khamis kemudian pada hari ini.
"Ia kerana jika anda mula berfikir dalam dua perlawanan, tiga perlawanan atau dalam empat perlawanan di mana kami berada, ia sama sekali salah.
“Kami gembira apabila peminat gembira. Mereka boleh bermimpi, mereka boleh fikir segala-galanya.
"Namun, realitinya saya katakan banyak kali bahawa kami tidak bersedia untuk berada di sana (mencabar kejuaraan), tetapi yang penting pasukan bertambah baik dari hari ke hari," katanya.
Dalam perlawanan itu, Spurs mendahului menerusi dua gol awal Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski sebelum Chelsea bangkit melalui gol Jadon Sancho, dua gol penalti Cole Palmer dan jaringan Enzo Fernandez.
Spurs berjaya merapatkan kedudukan menerusi Son Heung-min pada masa kecederaan, namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan tidak berjaya.
Walaupun tidak mahu memikirkan mengenai kejuaraan EPL, Maresca tetap mengakui kemenangan dramatik ke atas Spurs itu menunjukkan mentaliti pasukan dalam saingan liga.
“Ini pastinya kemenangan penting kerana untuk hadir ke stadium ini, menentang pasukan seperti Spurs dan bangkit selepas ketinggalan dua gol memang menunjukkan mentaliti pemain.
“Untuk mengharungi musim ini dan berfikir anda akan menang atau bermain tanpa kesukaran sangat mustahil. Kami telah bersedia untuk situasi seperti ini.
“Ia mungkin terlalu teruk untuk melepaskan selepas 15 minit untuk memberikan dua gol tetapi ia adalah kemenangan yang sempurna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!