Program Pembangunan Peneroka wujudkan komuniti cemerlang

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buah naga hasil tanaman yang diusahakan oleh seorang anak peneroka Felda Sahabat Fadzly Sultan, ketika melakukan lawatan di Felda Sahabat dekat sini. -Foto Bernama
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buah naga hasil tanaman yang diusahakan oleh seorang anak peneroka Felda Sahabat Fadzly Sultan, ketika melakukan lawatan di Felda Sahabat dekat sini. -Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan peneroka malah akan mewujudkan komuniti lebih cemerlang, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurut beliau, pada masa sama program itu turut mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan Felda khususnya kepada generasi kedua dan belia.

Katanya, sewaktu pembentangan Kertas Putih 'Ke Arah Kelestarian Felda' pada April tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM6.23 bilion untuk Felda termasuk RM1 bilion untuk pelaksanaan PPP bagi tempoh empat tahun.

"Pihak Felda sedang berusaha keras melakukan pembangunan lestari dan entiti dengan membantu peneroka. Ini merupakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Kenduri Sekampung Warga Felda Wilayah Sahabat di Kompleks Desa Kencana Felda Sahabat dekat sini.

Dalam lawatan pertama beliau ke Felda Sahabat itu, Mohd Radzi turut melawat dua projek di bawah PPP iaitu Penternakan Lembu Integrasi Felda Sahabat diusahakan Bakri Pewardi dan Projek Penanaman Buah Naga diusahakan Fadzly Sultan, kedua-dua mereka anak peneroka.

Mohd Radzi berkata, bagi memastikan kejayaan pelaksanaan PPP, masyarakat peneroka perlu menggunakan teknologi bagi meningkatkan hasil pengeluaran bernilai tinggi.

Bagi manfaat 13,832 warga Felda Sahabat, katanya kerajaan telah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk naik taraf kolam Takungan Loji Rawatan Air Fajar Harapan dan sistem mekanikal di muka sauk Loji Rawatan Air Cenderawasih.

Selain itu, katanya RM6.23 juta untuk menaik taraf enjin janakuasa elektrik di Stesen Janakuasa Sahabat dan RM3.83 juta menaik taraf enjin janakuasa elektrik di Stesen Janakuasa Cenderawasih.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar yang turut hadir pada majlis itu berkata di bawah PPP, enam projek disasarkan sebagai kumpulan pertama untuk melaksanakan Pertanian Bersepadu serta kaedah Pertanian Pintar dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka.

Katanya, antara projek itu adalah penanaman roselle di Felda Chuping, Kedah, penternakan ayam pedaging di Felda Kerteh, Terengganu dan penternakan lembu integrasi di Felda Sahabat 1 hingga Sahabat 5 di sini. - Bernama