Isu pakaian seragam jururawat tak berkualiti, KKM tunggu hasil siasatan

TUMPAT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu laporan terperinci berkait isu pakaian seragam jururawat tidak berkualiti sebelum mengambil sebarang tindakan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini proses siasatan masih berjalan.
"Kita masih lagi menunggu dapatan (siasatan), sedikit masa lagi KKM akan dapat memberikan respon berhubung perkara ini.
"Buat masa ini, tidak boleh ambil tindakan selagi belum ada keputusan secara tuntas," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menyantuni mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini.
Media sebelum ini melaporkan, pada 23 Oktober lalu, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) mengakui menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.
Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Saaidah Athman namun tidak mengulas mengenai perkara itu termasuk berhubung dakwaan kain dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat menyamai kain kafan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

