X

Kindly register in order to view this article
!

Makan malam terakhir, empat sekeluarga maut nahas

A
A

SUNGAI SIPUT - Empat sekeluarga termasuk bayi lelaki berusia 16 bulan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di KM37, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput bersama isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, 27, anak bongsunya, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan serta kakak iparnya, Nik Ifeka Nik Hassan, 28, disahkan maut di tempat kejadian.

Anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar berusia 3 tahun dilaporkan parah dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, hanya empat mangsa disahkan maut dalam kejadian itu dan kesemua mereka merupakan pemandu dan penumpang dalam kereta jenis Proton Saga.

Menurutnya, siasatan awal mendapati treler bermuatan bahan binaan yang dipandu dari arah Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas hingga memasuki jalan bertentangan.

“Disebabkan itu, kereta mangsa tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler sebelum dihempap dengan muatan kenderaan berat itu.

“Akibatnya, kesemua mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang kanak-kanak mengalami kecederaan parah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Siput di sini hari ini.

Treler dipandu lelaki berusia 26 tahun terbabas ketika tiba di lokasi kejadian.
Treler dipandu lelaki berusia 26 tahun terbabas ketika tiba di lokasi kejadian.

Mohd Khaizam berkata, pemandu treler berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan.

“Lelaki tersebut ditahan untuk diambil keterangan. Kesemua mayat dibawa ke unit forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat

“Siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Panji, Kota Bharu, Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.

Nikmati makan malam bersama

Kemalangan dipercayai berlaku hanya beberapa minit selepas kesemua mangsa selesai menikmati makan malam bersama di restoran yang terletak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kompleks Perumahan PDRM Sungai Siput sebelum terlibat kemalangan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Jeffery Abdullah berkata, seramai 10 anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.26 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat tiga mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut manakala dua mangsa iaitu ibu dan bayi berkenaan telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Mangsa yang tersepit adalah pemandu dan seorang wanita di bahagian penumpang belakang manakala kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Treler membawa muatan bahan binaan terbalik di Jalan Ipoh- Kuala Kangsar.
Treler membawa muatan bahan binaan terbalik di Jalan Ipoh- Kuala Kangsar.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kanak-kanak tersebut dalam keadaan sedar dan anggota meneruskan operasi untuk mengeluarkan mangsa.

“Kanak-kanak terbabit terselamat apabila dia terperosok di bawah papan pemuka dan anggota bertindak menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan kesemua mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada kakitangan perubatan manakala, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi diteruskan dengan mengalihkan kenderaan berat yang melintang menutupi jalan menuju ke Ipoh dan seterusnya membersihkan serpihan bahan binaan untuk keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.