X

Kindly register in order to view this article
!

Boris Johnson rombak Kabinet UK

Sunak (kanan) dilantik menggantikan Javid sebagai Menteri Kewangan baharu UK.
A
A

LONDON - Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson hari ini menamakan Rishi Sunak sebagai Menteri Kewangan baharu selepas pendahulunya, Sajid Javid meletak jawatan.

Sunak, 39, dilaporkan mempunyai latar belakang dalam perniagaan dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan UK.

Keputusan itu dibuat selepas Javid membuat keputusan mengejut untuk berundur dua minggu selepas langkah Brexit dan kira-kira sebulan sebelum beliau dijadualkan membentangkan bajet tahunan kerajaan.

Difahamkan, perkara itu diumumkan Javid ketika Johnson melakukan rombakan Kabinet pertama sejak beliau memenangi Pilihan Raya Umum pada Disember lalu.

Agensi berita Press Associaton memetik satu sumber yang enggan didedahkan melaporkan Javid nekad melepaskan jawatannya kerana Johnson mengarahkan beliau untuk memecat pasukan pembantunya.

"Javid enggan berbuat demikian kerana beliau berpendapat tiada menteri sanggup melakukan tindakan tersebut.

"Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Canselor Exchequer," kata sumber itu lagi.

Difahamkan, pengunduran Javid berlaku selepas Johnson memecat Menteri Ireland Utara, Julian Smith di bawah langkah mengejutkan beberapa minggu selepas pemimpin Parti Konservatif terbabit menjadi perantara untuk pemulihan perkongsian kuasa kerajaan di Belfast.

Beberapa khabar angin juga mendakwa keputusan itu ada kaitan dengan krisis yang berlaku antara Perbendaharaan UK dan penasihat rapat Perdana Menteri, Dominic Cummings.

Javid, 50, terjun ke dunia politik daripada sektor perbankan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum menggantikan Philip Hammond sebagai Canselor Exchequer pada Julai lalu.

Di bawah langkah rombakan itu, Setiausaha Perniagaan, Andrea Leadsom, Setiausaha Alam Sekitar, Theresa Villiers dan Peguam Negara, Geoffrey Cox turut dipecat.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Dominic Raab dan Michael Gove kekal dalam Kabinet.

Selain itu, Johnson juga menamakan Setiausaha Negara untuk Pembangunan Antarabangsa, Alok Sharma sebagai Menteri Perniagaan dan turut diberi tanggungjawab untuk menjadi pengerusi Sidang Kemuncak Iklim PBB (COP 26) yang akan diadakan di Glasgow pada November depan. - AFP