8 rumah sewa terbakar, 33 penghuni hilang tempat berteduh
BATU PAHAT - Seramai 33 penghuni hilang tempat berteduh apabila lapan rumah sewa di Kampung Parit Semarang musnah dalam kebakaran sekitar jam 8.45 pagi pada Ahad.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, seramai 17 anggota dari BBP Ayer Hitam serta BBP Penggaram dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran melibatkan rumah sewa satu tingkat jenis separuh kekal.
"Anggota bertindak memadamkan kebakaran dengan dua aliran 200 kaki dua pancutan dari sumber air dari pam jentera dan pili bomba berdekatan.
"Kejadian tersebut mengakibatkan kira-kira 70 peratus keseluruhan rumah sewa berkenaan musnah dalam kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Namun katanya, kejadian pada jam 8.45 pagi itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
"Seramai 15 mangsa daripada tiga buah keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Kuari yang merupakan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Manakala 18 mangsa daripada lima keluarga dipercayai tinggal di rumah saudara terdekat berhampiran Kampung Parit Lapis Semarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!