Penunggang motosikal nyaris maut tercampak dalam sungai
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki nyaris maut tercampak dalam sungai selepas motosikal ditunggang bersama isteri dan anaknya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Ahad.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 1.26 petang.
Beliau berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat kemudiannya segera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian pada jam 1.29 petang mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dinaiki tiga individu iaitu lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.
"Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan tercampak ke dalam sungai yang berada di bawah lebuh raya berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba serta orang awam di lokasi kejadian.
"Mangsa mengalami kecederaan patah bahagian kaki kanan manakala isteri dan anaknya mengalami kecederaan ringan serta diberikan rawatan awal.
"Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!