X

Kindly register in order to view this article
!

Projek ECRL tidak terjejas tanpa pekerja China

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Sri Darwis Abd Razak menerangkan kepada Anthony mengenai projek ECRL ketika berada di Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang hari ini. Foto: Rosli Talib
A
A

PELABUHAN KLANG - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak terjejas tanpa kepulangan semula pekerja dari China yang pulang ke kawasan dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) sempena cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana tugas pembinaan dilaksanakan oleh pekerja tempatan dan setakat ini projek itu telah mencapai tahap 15 peratus siap.

"Apa yang utama ialah pembinaan di Seksyen B dari Dungun, Terengganu ke Temerloh, Pahang yang sedang berjalan.

"Bagi Seksyen A (Kota Bahru - Dungun) dan C (Termeloh - Pelabuhan Klang) pula ia masih berada di peringkat pameran tetapi kita tidak menunggu semua pameran siap baharu jalankan pembinaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak pameran pemeriksaan awam projek ECRL di Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwish Abdul Razak berkata, seramai 13 pekerja ECRL yang juga warga China dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia buat sementara waktu ini.

Beliau berkata, cuti khas diberikan kepada pekerja asing itu selepas mereka pulang ke Wuhan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bagi projek ECRL di Seksyen C jajaran Temerloh ke Pelabuhan Klang, Selangor, kerja akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini dengan pembinaan melibatkan kawasan yang tidak melibatkan proses pengambilan tanah akan dimulakan dahulu.

"Sementara itu, bagi kawasan yang melibatkan pengambilan tanah pula akan mengambil masa.

"Kita masih di landasan tepat untuk menyelesaikan projek ECRL pada pertengahan 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027," katanya.

Ditanya mengenai pengambilan tanah persendirian bagi melaksanakan projek ini, beliau berkata, pihaknya akan cuba mengelakkan ia dia dibina di kawasan perumahan.

Projek ECRL disambung semula setelah perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019.

Ia menyaksikan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!