[VIDEO] Anak alih tangga, nak kena panggil bomba ke?

Video yang dimuat naik Mohd Safuddin di Facebook mencuri perhatian netizen hingga tular di laman sosial.
Video yang dimuat naik Mohd Safuddin di Facebook mencuri perhatian netizen hingga tular di laman sosial.
A
A
A

SUNGAI RAMBAI - Video rakaman seorang bapa yang berada di atas bumbung memujuk anaknya untuk mengambil tangga bagi membolehkannya turun dari tempat tinggi itu mencuit hati pengguna alam maya.

"Tengah membuat pendawaian atas bumbung, si anak alihkan tangga. Kena panggil bomba ke macam mana ni?" Itu status dimuat naik Mohd Safuddin Mohd Shawal, 33, apabila melihat tangga yang digunakan untuk memanjat syiling rumahnya dalam kejadian di Sungai Rambai di Melaka, 'lesap'.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 10 pagi, apabila dia sedang membuat kerja-kerja pendawaian sebelum berpindah ke rumahnya itu keesokan hari.

"Pada mulanya saya lakukan kerja di ruang dapur, bila melihat anak lena, saya ambil keputusan untuk memanjat di ruang khas disediakan untuk pendawaian.

"Sedang leka membuat kerja, saya tidak perasan anak sudah bangun dan terkejut apabila tangga sudah beralih di ruang sinki," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Safuddin bersama isteri, Wan Hayati dan anak sulungnya, Muhammad Aneeq ketika bercuti di Cameron Highlands.
Mohd Safuddin bersama isteri, Wan Hayati dan anak sulungnya, Muhammad Aneeq ketika bercuti di Cameron Highlands.

Menurutnya, anak sulung itu bernama Muhammad Aneeq, 2, dikatakan kerap bermain air tiap kali dia berkunjung ke rumah tersebut.

"Sebenarnya anak saya suka main air di sinki setiap kali saya datang ke rumah ini. Dia panjat guna kerusi.

Artikel Berkaitan:

"Kemungkinan ketika itu anak saya nak main air tu, dia nampak tangga, dia tolak sampai ke sinki," jelasnya yang berasal dari Kampung Parit Jamil Muar, Johor.

Menyedari insiden itu, Mohd Safuddin memanggil anaknya untuk mengalihkan semula tangga ke tempat asal.

"Setelah saya sedar tangga tiada, saya panggil anak suruh ambil tangga. Bila dia buat muka comel tu saya terus rakam untuk diberikan kepada datuk dan nenek di Rawang kerana gemar melihat gelagat cucunya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Safuddin yang juga seorang jurujual berkata, isterinya, Wan Hayati Rosman, 28, kini sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua pada 4 Februari lalu.

"Isteri masih pantang dan berada di hospital bersama bayi perempuan, jadi saya bawa anak sulung untuk teman saya tapi tak sangka perkara ini berlaku dan videonya tular di laman sosial," katanya.

Mohd Safuddin berkata, dia terpaksa mencari ikhtiar keluar dari bumbung rumah hingga ke garaj kereta.

Terdahulu, video rakaman 22 saat dimuat naik di Facebook Mohd Safuddin tular di laman sosial apabila netizen berasa lucu dengan gelagat dia memujuk anaknya untuk mengambil tangga bagi membolehkannya turun dari bumbung.

Video dimuat naik semalam setakat jam 6 petang tadi mencecah lebih 195,000 tontonan, 1,700 komen, 4,800 perkongsian dan 3,500 tanda suka daripada netizen.

Tengah wiring atas bumbung si anak alihkan tangga..kena panggil bomba ke mcm mana

Posted by Mohd Safuddin Mohd Shawal on Saturday, February 8, 2020

Posted by Mohd Safuddin Mohd Shawal on Monday, February 10, 2020