Mahkamah rayuan tetapkan 5 Mac dengar rayuan Lokman Adam

 Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Mac ini untuk mendengar rayuan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran memulakan prosiding komital yang diperoleh Peguam Negara terhadapnya.

Tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar, Laila Lateh semasa pengurusan kes.

Hadir semasa pengurusan kes itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar yang mewakili pendakwaan manakala peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed bagi pihak Lokman.

Lokman memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Januari lepas yang menolak permohonannya untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

ARTIKEL BERKAITAN: Prosiding komital: Mahkamah tolak permohonan Lokman Adam

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Yaacob Md Sam mengarahkan kes berkenaan dibawa untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh rayuan selepas pendakwaan dan pembelaan bersetuju tarikh prosiding rayuan lebih awal.

Permohonan Lokman untuk menangguhkan prosiding komital inter parte sementara menunggu rayuannya yang dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan hari ini.

Bagaimanapun, peguam Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan kepada mahkamah supaya tarikh prosiding rayuan lebih awal ditetapkan daripada mendengar prosiding penangguhan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mencadangkan supaya tarikh perbicaraan ditetapkan sebelum 13 Mac memandangkan prosiding penghinaan inter parte di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada hari berkenaan serta memohon permohonan itu dibawa kepada pendaftar untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan dan dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dikatakan dilakukannya dua kali pada 25 September lepas.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman Noor dipenjara atau didenda atas perbuatannya.- Bernama