DAP perlu minta maaf kepada pengundi DUN Pujut

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - DAP didesak supaya meminta maaf kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut khasnya dan seluruh rakyat Sarawak amnya kerana kesilapan memilih Dr Ting Tiong Choon pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang tidak mahu menerima keputusan mahkamah dalam kes itu menunjukkan keangkuhan pemimpin parti itu.

“Walaupun Mahkamah Persekutuan mengesahkan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan ADUN Pujut, Chieng Jen tetap berkeras tidak mahu menerimanya dan menegaskan bahawa DUN Sarawak telah menyalahgunakan kuasanya, Tiong Choon telah dipilih secara sah dan Tiong Choon akan terus berkhidmat kepada pengundi Pujut hingga habis penggal.

“Lebih membahayakan lagi apabila kata-kata menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan Pusat seperti Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Chieng Jen sebagai seorang peguam sepatutnya tahu bahawa amalan Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang akan diberikan secara individu oleh setiap hakim manakala suara majoriti akan diberikan secara bersama.

“Chieng Jen meminta setiap satu daripada tujuh hakim yang bersetuju dengan tindakan DUN Sarawak melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut menulis hujah mereka secara individu adalah satu tindakan yang melampau dan tidak menghormati Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Semalam, Chieng Jen menegaskan DAP akan terus berkhidmat di kawasan DUN Pujut di Miri sehingga tamat penggal pentadbiran selain kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada PRK Pujut, kata Speaker DUN Sarawak

Artikel Berkaitan:

KUCHING - Tidak akan ada pilihan raya kecil (PRK) susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.

Beliau berkata, tiada keperluan baginya sebagai Speaker DUN untuk menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan berikutan keputusan itu berdasarkan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Perkara itu antara lain menyatakan bahawa jika kekosongan pada tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh DUN hendak dibubarkan kekosongan jawatan itu tidak akan diisi, melainkan jika Speaker memberitahu SPR secara bertulis bahawa jumlah kekuatan parti yang menjadi majoriti ahli DUN terkesan oleh kekosongan tersebut.

"Keperluan untuk Speaker menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya tidak timbul dan tanpa pemberitahuan itu, tidak (akan) ada pilihan raya kecil," katanya pada sidang akhbar di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Mohamad Asfia berkata, isu yang dihujah dalam kes itu bukan soal politik tetapi persoalan patriotisme, yang mencerminkan pendirian bahawa sesiapa yang memperoleh kewarganegaraan negara lain dan menjadi sebahagian daripada negara itu tidak boleh dibenarkan untuk mewakili pemilih dalam Malaysia dan duduk di dalam dewan yang menggubal undang-undang.